KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee sah meninggalkan pasukan Sabah selepas hampir tiga musim menabur bakti di Negeri Di Bawah Bayu sejak 2021.
Ini kerana bekas pengendali Harimau Muda itu mengambil keputusan tidak memperbaharui kontraknya bersama Sang Badak yang sudah tamat bulan ini.
Berita mengejutkan itu dikongsi menerusi kenyataan yang diberikan kepada media, hari ini.
Tugasan terakhirnya bakal menyaksikan Sabah bertemu PT Athletic dalam saingan Unifi Piala Malaysia pada Sabtu ini.
“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai ketua jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.
“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024. Selama 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa.
“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini,” katanya.
Beliau juga tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada penyokong Sabah yang disifatkannya sangat bermakna kepada pasukan.
“Anda (penyokong) adalah nadi kelab ini. Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.
“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya di laman X.
Kim Swee membimbing Sabah sejak 2022 menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dan berjaya meletakkan pasukan itu antara tiga teratas Liga Super selain layak ke kejohanan AFC tahun lalu. – MalaysiaGazette