KUALA LUMPUR – Persatuan Rakan Kucing Malaysia (PRKM) dan Pet Universe menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)mengukuhkan komitmen bersama meningkatkan kesedaran tentang kebajikan kucing di negara ini.
MoU itu juga bagi menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab dan menekankan peranan penting haiwan peliharaan sebagai ahli keluarga.
MoU yang diadakan di Wisma Pet Universe di sini hari ini
menandakan bab baharu kerjasama antara PRKM, sebuah organisasi memperjuangkan kebajikan kucing dan Pet Universe pula penyedia perkhidmatan penjagaan haiwan peliharaan berkualiti tinggi.
Kerjasama itu memperkukuh inisiatif yang diperkenalkan tahun lalu oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Penaung PRKM.
Fokus utama MoU berkenaan meliputi usaha memperkuat kerjasama meningkatkan kebajikan dan perlindungan kucing di seluruh negara, kata PRKM dalam satu kenyataan.
Selain itu, ia bagi memupuk pendidikan awam mengenai kemajuan penjagaan haiwan peliharaan terutamanya melalui perkhidmatan seperti hotel kucing dan amalan veterinar.
Kerjasama itu juga bagi melancarkan inisiatif berasaskan komuniti untuk menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan meningkatkan kesejahteraan kucing serta haiwan peliharaan lain.
PRKM akan memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang amalan penjagaan kucing yang bertanggungjawab manakala Pet Universe akan menyediakan kemudahan dan kepakarannya yang bertaraf tinggi.
Kerjasama juga melibatkan penganjuran bengkel, seminar dan aktiviti yang bertujuan melibatkan serta mendidik masyarakat tentang penjagaan haiwan peliharaan sebagai ahli keluarga yang dihargai.
Setiausaha PRKM, Mohd Edi Arminshah Mohamed berkata, MoU juga mencerminkan komitmen bersama terhadap kebajikan kucing di Malaysia.
“Bersama-sama, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan sumber untuk memastikan rakan berbulu kita menerima penjagaan yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pet Universe, Dr. Anya Chiu berkata, moto pihaknya ‘Menginsankan Haiwan Peliharaan’ an percaya haiwan peliharaan adalah sebahagian penting dalam keluarga.
Menurutnya, melalui kerjasama dengan PRKM, pihaknya komited untuk memupuk budaya yang mengutamakan kesejahteraan mereka.
“Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada haiwan peliharaan dan pemiliknya lalu memupuk hubungan erat dalam kalangan komuniti pencinta haiwan yang semakin berkembang di Malaysia.
“Aktiviti bersama ini bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran tetapi juga membentuk masyarakat yang berbelas kasihan dan berpengetahuan yang mana kebajikan haiwan peliharaan menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, PRKM dan Pet Universe bersiap sedia untuk melancarkan pelbagai inisiatif yang berimpak termasuk kempen kesedaran awam, bengkel komuniti dan program pendidikan.
Usaha itu bertujuan menginspirasi keluarga untuk mengamalkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan melihat haiwan peliharaan mereka sebagai ahli keluarga yang dihargai. – MalaysiaGazette