KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) kesal dengan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa tidak memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua penerangannya, Irwan Fahmi Ideris menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan King Sing mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjalankan penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa.

“Jika Menteri Pelancongan tak faham, PERKASA ingin menjelaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan seperti mana yang terkandung dalam Perkara 152 (Perlembagaan).

“PERKASA ingin mengingatkan kepada Menteri Pelancongan, mengenai dakwaan sesetengah pelancong antarabangsa yang mengatakan Malaysia sebuah negara yang rasis atau ekstrem agama itu betul atau hanya rekaan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Irwan Fahmi turut menegaskan menteri seharusnya bertanggungjawab memastikan bahasa kebangsaan terus diangkat dan dihormati dalam setiap dasar pelancongan.

“Sebagai menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong seharusnya beliau lebih peka terhadap peranan Bahasa Melayu sebagai identiti nasional. 

“Sudah cukup isu seperti Bak Kut Teh diwartakan sebagai makanan warisan sebelum ini dan kini beliau tidak menyokong penggunaan Bahasa Melayu pula,” katanya.

Menurutnya, Malaysia bukanlah negara yang bergantung kepada bantuan China atau pelancong dari negara itu sahaja. 

Menurutnya, pelancong dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea, India dan negara-negara Timur Tengah juga turut mengunjungi Malaysia.

Oleh itu, Bahasa Melayu perlu diberi keutamaan dalam segala urusan pelancongan, bukan bahasa dari satu negara sahaja.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Menteri Pelancongan begitu tekad mahu menggunakan bahasa Cina sedangkan negara ini memiliki identiti budaya yang lebih luas dan berbilang bangsa. 

“Menteri Pelancongan harus sedar bukan hanya pelancong dari negara Cina sahaja yang datang melancong ke negara ini tetapi dari Jepun, Korea, India dan dari negara Timur Tengah.

“Adakah kita juga perlu melayan untuk meletakkan sepanduk dari negara mereka? Di mana identiti negara kita jika hampir seluruh negara mempunyai tanda bahasa dari negara mereka?” soalnya.

Tambah Irwan, sebagai Menteri Pelancongan,  King Sing seharusnya bertanggungjawab untuk mengetengahkan identiti Malaysia yang berbilang kaum serta kebudayaan pelbagai masyarakat bukan hanya memberi tumpuan kepada budaya satu kaum atau etnik tertentu sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast