KUALA LUMPUR – Kenyataan kononnya tindakan tegas oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menurunkan papan tanda berbahasa Mandarin boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini disifatkan hanya alasan atau dalih yang tidak boleh diterima.
Pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, pelancong asing boleh memahami tindakan diambil DBKL itu sekiranya kewajaran tindakan itu diperjelaskan kepada mereka.
Apatah lagi, ujar Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN) berkenaan, tindakan penguatkuasaan yang diambil itu juga selari dengan Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982.
Tegas beliau, undang-undang itu dengan jelas menyebut mana-mana papan tanda yang langsung tidak menggunakan atau menonjolkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dianggap menyalahi peraturan tersebut.
“Mana mungkin pelancong dari China menganggap tindakan DBKL itu sebagai sesuatu yang rasis dan mereka tidak mahu lagi datang ke negara ini.
“Jika keadaan sebenar diberitahu, pelancong dari China boleh memahami tindakan DBKL itu adalah wajar kerana premis terlibat telah melanggar peraturan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Tambah King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu, melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Kok Seong meminta semua pihak khususnya King Sing berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan supaya tindakan DBKL tersebut tidak dilihat menjurus kepada perkauman.
Dalam masa sama, beliau menggesa DBKL melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap papan tanda yang melanggar peraturan penggunaan Bahasa Kebangsaan itu secara lebih tegas dan konsisten.
“Jika tindakan penguatkuasaan itu dilakukan secara konsisten, maka ramai pemilik premis akan menyedari mengenai peraturan ini dan mereka juga akan mematuhinya kerana memikirkan soal kompaun dan kos sekiranya perlu menurunkan papan tanda tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
pelancong asing mana yang tak tahu bahasa kebangsaan negara Malaysia adalah bahasa melayu?? apakah mereka yang tidak tahu atau diberitahu maklumat palsu oleh pihak tertentu.. tak logik la papan tanda Malaysia gunakan bahasa rasmi negara asing.. tu bing4i namanya
melancong ke negara lain ada ke papan tanda tulisan bahasa Melayu atau Jawi? kena lah faham bahasa dan budaya sesebuah negara tu. Saya sokong tindakan DBKL dan keyataan Prof.