KUALA LUMPUR – Isu papan tanda dwibahasa terus menjadi topik hangat namun ramai pihak berpendapat penggunaan bahasa kebangsaan adalah satu keperluan sesebuah negara.
Menurut Naib Pengerusi Muafakat Nasional, Ts. Dr Subas Chantirabos Arumugam, penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda di Malaysia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia adalah bahasa rasmi negara.
“Saya baru pulang dari Sweden, Norway dan Finland. Kebanyakan papan tanda mereka menggunakan bahasa tempatan. Ia tidak pernah membuatkan saya keliru atau terasa ia bersifat perkauman. Itu adalah bahasa kebangsaan mereka dan ia menjadi kebanggaan mereka.
“Perkara ini mudah. Ini adalah Malaysia. Adalah biasa bagi setiap negara untuk menggunakan bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan mereka pada papan tanda sebagai identiti negara. Tambahan pula, ia termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang kita,” katanya.
Beliau turut memberi contoh situasi yang sama di negara lain seperti Jepun atau China di mana kebanyakan papan tanda ditulis dalam bahasa tempatan.
“Adakah kita membuat aduan apabila berada di Jepun atau China? Tidak. Kita akan menggunakan penterjemah atau bertanya kepada orang sekeliling. Hal ini sama di mana-mana negara. Kita perlu menghormati budaya dan identiti negara tersebut,” jelasnya.
Subas juga menegaskan walaupun Malaysia dikenali kerana ramai rakyatnya fasih berbahasa Inggeris, bahasa kebangsaan tetap Bahasa Melayu dan ia perlu dijunjung sebagai kebanggaan negara.
“Bahasa Melayu adalah maruah kita. Ia melambangkan keunikan dan identiti Malaysia yang sebenar. Tuduhan bahawa isu papan tanda ini bersifat perkauman atau menyusahkan pelancong hanyalah perkara kecil dan isu terpencil. Ia tidak mencemarkan nama baik negara,” tambahnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap pihak tertentu yang cuba membangkitkan isu berkenaan secara tidak wajar.
“Saya rasa ada kumpulan yang cuba mencetuskan isu yang tidak perlu. Kita sepatutnya lebih fokus kepada perkara yang lebih penting untuk negara,” tegasnya.
Pendirian itu selaras dengan prinsip untuk mengekalkan keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum tanpa mengorbankan identiti kebangsaannya. – MalaysiaGazette