Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 dengan gelaran Biduanita Negara baru-baru ini kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak sedikit mengubah sikapnya yang dikenali selama ini.

Sebaliknya, penghibur nombor satu itu mengakui beliau lebih selesa dipanggil Siti sahaja seperti sebelum ini.

Kata wanita berusia 45 tahun itu, beliau masih perlu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu di rumah dan juga usahawan kosmetik.

“Saya tetap balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan rumahtangga.

“Saya juga masih perlu menjual barang di TikTok kerana itu adalah tanggungjawab,” katanya pada majlis Apresiasi Media dan pelancaran single Sejarah di sini, hari ini.

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza berkata, setiap individu tidak salah untuk bermimpi dan berangan memiliki cita-cita besar.

Kata ibu beranak dua itu, beliau pernah berangan mengadakan konsert sebelum usia 19 tahun dan cita-cita itu menjadi kenyataan.

“Anak muda atau artis yang ingin mengejar mimpi setinggi manapun perlu datang bersama usaha.

“Jangan mudah puas atau merasa bagus tetapi sentiasa belajar untuk perbaiki kekurangan.

“Kalau ada artis baharu yang lebih bagus, tidak salah untuk kita belajar dan berkolaborasi dengan mereka,” katanya.

Pada 13 November lalu, Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara.

Beliau menerima anugerah itu dalam majlis penuh gilang-gemilang, ASN 2024.

Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast