KUALA LUMPUR – Filem Tamil tempatan, C4Cinta arahan pengarah muda, Karthik Shamalan mencipta sejarah apabila mengutip kutipan box office melebihi RM1.1 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Kutipan ini disifatkan luar biasa apatah lagi sejak kebelakangan ini terutamanya selepas pandemik Covid-19, banyak filem tempatan sukar untuk mendapat pengiktirafan daripada arus perdana.
Filem ini diterbitkan bersama oleh SCIFILM dengan AVLT Production dan diedarkan oleh Pocketplays Films membariskan pelakon berbakat seperti Yuvaraj Krishnasamy, Pashini Sivakumar, Viknesh Naidu, Ravin Rao Santheran, Vijay Naidu, Dishaaleny, Loga Varman serta ramai lagi telah mula tayangan sejak 21 November lepas.
Lebih meriah dan mengasyikkan apabila bakat lakonan serta garapan hebat ini digabungkan dengan skor muzik indah ciptaan Shamesan Mani Maran menjadikan C4Cinta sebuah karya yang luar biasa.
Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, kata Pocketplay Films, C4Cinta ini adalah satu pencapaian sangat bermakna buat industri filem Tamil tempatan Malaysia pada masa ini.
“Kejayaan luar biasa C4Cinta membuktikan potensi besar sinema Tamil tempatan untuk berkembang, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas antarabangsa.
“Sambutan luar biasa ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap kandungan filem yang pelbagai dan berkualiti tinggi di Malaysia. C4Cinta adalah detik kebanggaan untuk komuniti sinema Tamil Malaysia dan meraikan bakat tempatan yang luar biasa,” katanya.
C4Cinta mengisahkan perjalanan emosi dan cabaran dalam hubungan cinta di dunia moden, menyampaikan mesej tentang kepercayaan, pengorbanan, persahabatan dan keikhlasan.
Difahamkan, filem ini masih lagi pecah panggung dan sedang ditayangkan di seluruh negara. -MalaysiaGazette