KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk memihak kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan mengesahkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang mendapati bekas timbalan pengerusi Patimas Computers Berhad bertanggungjawab atas dagangan orang dalam.
Mahkamah Tinggi pada tahun 2022 mendapati Datuk Raymond Yap Wee Hin bertanggungjawab atas dagangan orang dalam di bawah seksyen 188(2)(a) dan 2(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Dalam keputusannya hari ini, Hakim Datuk Ravinthran a/l N. Paramaguru, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Collin Lawrence Sequerah sebulat suara menolak rayuan Yap dan mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar sebanyak RM3.28 juta sebagai pengembalian kepada SC.
Jumlah tersebut bersamaan dengan tiga kali kerugian yang dielakkan Yap akibat daripada dagangan orang dalam.
Mahkamah Rayuan mendapati seksyen 201(6) CMSA memberikan bidang kuasa kepada SC untuk memfailkan prosiding sivil bagi pelanggaran dagangan orang dalam di bawah
seksyen 188(2) CMSA.
Yap juga diperintahkan untuk membayar penalti sivil sebanyak RM1 juta kepada SC dan dilarang menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai selama lima tahun, bermula
dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi pada 7 April 2022.
Pelanggaran itu berlaku apabila Yap melupuskan 43.8 juta saham Patimas yang dipegang oleh Law Siew Ngoh, bekas Pengarah Urusan Patimas, antara Jun dan Julai 2012.
Pada masa itu, Yap memiliki maklumat penting bukan awam yang berkaitan dengan pertanyaan audit dan isu mengenai transaksi yang mencurigakan antara Patimas dan penghutang utamanya.
Perkara itu telah dibangkitkan dan dibincangkan oleh Ernst & Young Malaysia, juruaudit luar Patimas, semasa mesyuarat dengan pengurusan syarikat.
Pada 31 Julai 2012, Lembaga Pengarah Patimas mengumumkan kepada Bursa Malaysia syarikat itu tidak akan dapat mengeluarkan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan untuk tempoh kewangan dari 1 Januari 2011 hingga 31 Mac 2012 disebabkan penemuan/pertanyaan audit penting yang tidak dapat diselesaikan.
Dagangan orang dalam merupakan satu pelanggaran serius kerana ia menjejaskan integriti pasaran modal dan seterusnya mengurangkan keyakinan pelabur terhadap pasaran saham.
SC berharap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini jelas menekankan bahawa SC dan juga mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan pelanggaran sedemikian. – MalaysiaGazette