KUALA LUMPUR- FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan peningkatan ketara dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM157 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 berbanding RM83 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, hasil sumbangan Bahagian Perladangan dan Bahagian Logistik & Sokongan.
Hasil kumpulan meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM6.18 bilion berbanding RM4.91 bilion sebelumnya, manakala Keuntungan Selepas Cukai & Kepentingan Minoriti (PATAMI) meningkat kepada jumlah RM87 juta daripada RM32 juta.
Keuntungan Operasi FGV sebelum perubahan nilai saksama bagi Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan kemerosotan nilai berjumlah RM403 juta turut mencatat peningkatan berbanding RM207 juta yang dilaporkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, peningkatan prestasi itu adalah disebabkan tandan buah segar (BTS) yang diproses, hasil dan pengurangan kos CPO ex-mill.
Selain itu, harga purata minyak sawit mentah (MSM) dicatatkan pada RM3,980 satu tan metrik (MT), berbanding RM3,879 satu MT pada suku yang sama tahun lepas.
“Prestasi kewangan kami terus menunjukkan kestabilan dan peningkatan. Bahagian Perladangan kami telah menjadi salah satu faktor utama dengan peningkatan yang luar biasa dalam pengeluaran dan hasil BTS.
Walaupun menghadapi cabaran dalam beberapa segmen perniagaan, tumpuan strategik kami untuk meningkatkan operasi dan kecekapan membuahkan hasil, dan saya yakin FGV berada di landasan yang tepat bagi menutup tahun ini dengan kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, walaupun, Kadar Perahan Minyak (OER) lebih rendah sebanyak 20.71 peratus, prestasi Kumpulan FGV masih kukuh dengan catatan OER yang melebihi kadar purata semasa negara. Pencapaian ketara ini adalah kerana kerana kira-kira 72 peratus BTS diperoleh dari ladang – ladang luar.
Jumlah BTS yang diterima, meningkat sebanyak 26 peratus, mencecah kepada 4.23 juta MT. Daripada jumlah ini, 1.19 juta MT (28 peratus) dihasilkan di ladang-ladang FGV, 1.78 juta MT (42 peratus) diperoleh daripada peneroka FELDA, dan 1.25 juta MT (30 peratus) diterima daripada pihak ketiga, hasil faktor keadaan cuaca yang baik.- MalaysiaGazette