Mohd Fared ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menambah peruntukan untuk Program Semarak Subuh mingguan pada tahun depan menjadi RM2.8 juta bagi menyemarakkan dan memperkasa syiar Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, program tersebut akan dilaksana dua minggu sekali berbanding seminggu sekali sebelum ini.

“Ini melibatkan pertambahan peruntukan sebanyak RM1.4 juta menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang diperoleh untuk Program Semarak Subuh adalah RM2.8 juta.

“Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memperoleh RM50,000. Daripada RM10,000 ditambah kepada RM25,000 dan tahun hadapan akan bertambah lagi menjadi RM50,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga Kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai perancangan kerajaan negeri meneruskan Program Semarak Subuh di Johor pada tahun depan yang mendapat sambutan baik masyarakat sebelum ini.

Katanya, setakat ini, seramai 320,638 jemaah telah menyertai Program Semarak Subuh melibatkan 2,287 masjid dan surau daripada 2,734 seluruh negeri.

Jumlah itu katanya, melibatkan lebih 80 peratus jumlah masjid dan surau di Johor yang berjaya disantuni menerusi program berkenaan.

“Dengan sambutan yang amat baik dari masyarakat, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bertekad untuk memperluaskan lagi penglibatan masyarakat dalam setiap aspek program pada 2025.

“Antara langkah-langkah yang akan diambil termasuk mempertingkatkan pengisian tazkirah, menganjurkan forum agama serta mengadakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan golongan muda, wanita, dan warga emas,” ujarnya.

Tujuan utama katanya, untuk memastikan program berkenaan bukan sahaja berjaya meningkatkan amalan ibadah tetapi juga berfungsi sebagai platform yang memperkasa pembangunan sosial masyarakat secara menyeluruh.

“Secara tidak langsung akan mengembalikan masjid kepada fungsi asalnya sebagai one stop centre yang berperanan menjadi pusat ilmu, dakwah dan tempat untuk bertukar tukar pandangan serta memperkuat ukhuwah sekali gus menjadikan Johor sebagai contoh negeri yang mengutamakan nilai-nilai keagamaan dan keharmonian masyarakat dalam kehidupan seharian,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here