KUALA LUMPUR – Berusia 49 tahun, bukan penghalang bagi Mohd Fahridzal Hashim untuk menamatkan pengajiannya sebagai Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Bahkan, lebih mengujakan apabila Mohd Fahridzal berjaya menyarung ‘selempang pink’.
Berkongsi rahsianya untuk mencapai kejayaan, beliau berkata: “Saya memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas serta menggunakan ilmu yang disampaikan oleh
pensyarah di dalam peperiksaan dan juga untuk gunakan di alam pekerjaan nanti.
Beliau mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda Covid-19 cukup mencabar buatnya sepanjang pengajian.
“Sebab mod pengajian berubah dari fizikal kepada online. Jadi saya perlu mengambil masa untuk sesuaikan diri dengan kaedah pengajian secara atas talian. Agak struggle, tapi alhamdulillah
akhirnya berjaya juga,” kongsinya.
Mohd Fahridzal berkata, kejayaan yang dicapai hari ini atas kerjasama rakan kursus, meskipun mereka jauh lebih muda.
“Walaupun jarak usia mereka jauh lebih muda dari saya, tapi mereka sentiasa concentrate, tolong menolong antara satu sama lain. Mereka tak pernah anggap saya sebagai orang yang terlalu tua. Mereka terima saya seadanya”, ujarnya sambil menitip pesanan perlu ada usaha untuk berjaya. – MalaysiaGazette