Datuk Seri Vida

KUALA LUMPUR – Usahawan selebriti Datuk Seri Vida mendakwa plaintif yang terlibat dalam kes penyitaan aset miliknya tidak mempunyai waran untuk memasuki kediamannya di Meru, Ipoh, kelmarin.

Ujar Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, pekerjanya membenarkan plaintif, Mohammad Taufik Kamarul memasuki kediaman itu kerana gagal menghubunginya yang ketika itu dalam perjalanan ke luar negara.

“Pekerja tidak dapat menghubungi saya kerana saya berada dalam penerbangan ke luar negara, jadi mereka buat keputusan sendiri.

“Saya hanya mengetahui penghakiman sebelah pihak (ex parte) pada hari aset saya disita. Sepatutnya ada dokumen lain, writ rampasan memang ada, tetapi tiada dokumen membenarkan plaintif masuk ke dalam rumah,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok, semalam.

Vida turut mempersoalkan tindakan tersebut yang dianggap tidak mengikut prosedur.

Beberapa aset milik pelantun lagu I Am Me itu disita selepas gagal melangsaikan baki tunggakan berjumlah RM1,060,285 kepada syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sejak tahun 2018.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Vida perlu menyelesaikan hutang tersebut pada 29 Oktober tahun lalu.
Sekiranya gagal, writ rampasan dan penjualan akan dikeluarkan.

Syarikat tersebut sebelum ini menjalankan kerja pengubahsuaian bangunan pejabat milik Vida, Vida All Star Studio, di Seksyen 33, Shah Alam.

Menurut peguam mewakili plaintif iaitu Samir Zainal, antara aset yang disita termasuk empat buah kenderaan mewah iaitu dua Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7.

Barangan elektronik seperti televisyen Samsung bersaiz 100 inci dan 85 inci, konsol permainan, serta set alat muzik turut disita.

Selain itu, perabot dan hiasan seperti sofa (10 unit), piano jenama Kawai, almari pakaian (8 unit), pasu bunga (30 unit), penghawa dingin (15 unit), lukisan eksklusif (6 unit) dan lampu hiasan chandelier.

Kesemua aset tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar dari kediaman dan akan dilelong pada 9 Disember sekiranya tunggakan hutang tidak dijelaskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here