TANJUNG MALIM – Perjuangan 20 mahasiswa di bawah program Pelita Suluh Budiman untuk memiliki segulung diploma akhirnya mencapai kejayaan sehingga bergraduat.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, beliau menzahirkan rasa bangga di atas kegigihan para graduan meskipun belajar dari balik tirai besi di Penjara Kluang, Johor.
“Mereka adalah graduan pertama di bawah projek yang dikendalikan atas inisiatif Fakulti Pengurusan dan Ekonomi ( FPE) dan dianugerahi Diploma Keusahawanan pada sesi kelapan Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-26 ” katanya dalam satu kenyataan media.
Sesi kelapan menyaksikan ijazah dan diploma di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi serta graduan Pelita Suluh Budiman disampaikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Md Amin berkata, program itu diadakan bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan inklusiviti pendidikan tinggi kepada semua golongan.
Beliau berkata, untuk berjaya seperti orang lain tiada halangan asalkan ada kemahuan yang tinggi walaupun pernah melakukan kesilapan dalam hidup.
“Apa yang penting seseorang harus bangkit memandang ke hadapan untuk mengejar impian sekali gus membuktikan ilmu tetap penting untuk mengubah nasib dan masa depan, ” katanya.
Hadir sama menyaksikan konvokesyen graduan Pelita Suluh Budiman ialah Timbalan Komisioner Jeneral Pengarah Penjara ( Pemasyarakatan), Ahmad Faudzi Ahmad.
Dekan FPE, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor berkata graduan berkenaan mengikuti dengan jayanya pengajian selama enam semester yang dikendalikan pensyarah FPE dan guru-guru Sekolah Integriti Kluang.
Beliau berterima kasih kepada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI yang menaja sepenuhnya pengajian mereka.
“Saya menyeru badan-badan korporat untuk menyumbang bagi menampung pengajian lebih ramai mahasiswa di bawah projek murni ini, ” katanya.
Seorang graduan , Amir ( bukan nama sebenar) berpendapat kejayaan ini adalah peluang keduanya melanjutkan pengajian dan satu penghormatan walaupun sedang menjalani hukuman .
” Ia juga secara tidak langsung kami dapat menebus kesalahan silam dan semoga kejayaan ini memberi kegembiraan kepada keluarga,” katanya.
Seorang rakannya yang sudah bebas mengganggap kejayaan itu sebagai langkah permulaan untuk maju ke hadapan demi kelangsungan hidup serta membina masa depan bersama keluarga. – MalaysiaGazette