ALOR SETAR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan di sini dan Sik demi keselamatan pengguna setempat.
TNB dalam hantaran di Facebook memaklumkan 11 pencawang di Alor Setar dan satu di Sik tidak mendapat bekalan elektrik susulan penutupan bekalan tersebut petang tadi.
“Bagi daerah Alor Setar melibatkan Kampung Bukit Derang, Kampung Bukit Hijau, Kampung Empa 1 dan 2, Kampung Teras, Kem Tentera Udara Diraja Malaysia, Kampung Alor Madi dan Kampung Pulau Kerengga.
“Turut terjejas, Kampung Titi Gajah 1, Kampung Alor Perang, Kampung Alor Senjaya dan Rumah Pam Alor Gunung.
“Manakala Sik pula, ia melibatkan Kampung Padang Chicar,” katanya.
Sementara itu, PLUS Malaysia menerusi Facebook rasminya memaklumkan berikutan insiden banjir di KM32.1- KM33.2 antara laluan Jitra ke Hutan Kampung, lorong di kedua-dua arah masih ditutup dan trafik arah selatan dilencongkan ke Persimpangan Jitra Selatan manakala trafik arah utara dilencongkan ke Persimpangan Kepala Batas. – MalaysiaGazette