POKOK SENA – Laluan di kawasan Derang dari Bukit Pinang menghala ke Pokok Sena di sini masih terputus berikutan kawasan itu dinaiki air meskipun banjir sudah memasuki hari keempat hari ini.
Rata-rata penduduk mendakwa ia merupakan gelombang keempat kawasan itu dilanda banjir bagi tahun ini dan bencana kali ini paling terburuk.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi di mendapati laluan itu tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan selain Masjid Kampung Bukit, Mukim Derang dan tanah perkuburan Islam masih ditenggelami air.

Menurut penduduk, Abdullah Jalajalahu, 64, laluan ke rumahnya di Kampung Baru di sini masih tidak boleh dilalui selain air dalam rumah berada paras pinggang ketika ini.
“Memang setiap tahun bulan September hingga Disember kami buat persiapan hadapi banjir tapi selalunya tak sampai paras tenggelam sepenuhnya.
“Tak cukup rumah, kedai sarapan pagi yang diusahakan saya serta isteri turut ditenggelami air sedangkan gerai terletak kira-kira satu kilometer dari rumah saya itu selalunya tidak dinaiki air.

“Saya harap ada pihak datang beri bantuan untuk kami meneruskan semula perniagaan kerana hampir kesemua barang rosak termasuk kerusi hanyut dan semestinya untuk kembali pulih memakan masa serta kos,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Bagi, Norma Ahmad, 57, berkata, air sungai melimpah selepas hujan lebih sejam sebelum masuk ke dalam rumahnya.
“Banjir kali ini arus deras serta air naik dengan cepat menyebabkan rumah saya dinaiki air hampir dua meter.
“Kalau tanya saya untuk tahun ini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ibarat inap desa buat kami sekeluarga kerana sudah empat kali kami berteduh di sini,” katanya.
Sementara itu, Mudni Mohd Noor, 35, berkata, meskipun rumahnya tidak ditenggelami air namun laluan keluar masuk penduduk terputus sehingga beberapa hari lalu.
“Ini kira ok juga air sudah mula surut sikit.. kalau sebelum ini lagi tinggi paras air meskipun di laluan utama.

“Penduduk yang terjejas juga masih tidak dibenarkan ke rumah masing-masing walaupun cuaca sudah tidak hujan kerana setengah kawasan perumahan khsususnya Kampung Baru, air banjir masih di paras pinggang sekali gus membahayakan mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan empat laluan ditutup sepenuhnya dan dua lagi laluan ditutup separa dalam daerah Kota Setar dekat sini berikutan banjir.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, laluan itu membabitkan Jalan Lengkuas /Kampung Derang / Batu 11 Jalan Pokok Sena yang ditutup dari Kilometer (KM) 9.80 ke KM11.50 kerana dinaiki air.
Berikutan itu, laluan alternatif adalah Jalan Langgar/ Sungai Mati/Bukit Pinang – Kepala Batas dan Hutan Kampung ke Langgar. – MalaysiaGazette















