CONAKRY – Perlawanan bola sepak di N’zerekore, Guinea bertukar menjadi tragedi selepas keputusan kontroversi pengadil mencetuskan huru-hara dan mengakibatkan kematian.
Peminat bola sepak bertindak menyerbu padang dan bertempur dengan pasukan keselamatan, merosakkan harta benda.
Akibatnya, berpuluh-puluh orang terbunuh dalam kejadian yang berlaku di bandar kedua terbesar di Guinea.
Seorang doktor berkata “terdapat kira-kira 100 kemtian mati”, dengan mayat memenuhi hospital dan bilik mayat.
“Ada mayat berbaris sejauh mata memandang di hospital. Yang lain terbaring di lantai di lorong. Bilik mayat penuh,” kata doktor itu kepada AFP.
Seorang lagi doktor berkata, terdapat “berpuluh-puluh orang mati”.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan keadaan huru-hara di jalanan di luar perlawanan dan banyak mayat terbaring di atas tanah.
“Semuanya bermula dengan keputusan yang dipertikaikan oleh pengadil. Kemudian peminat menceroboh padang,” kata seorang saksi kepada AFP.
Media tempatan berkata, perlawanan itu adalah sebahagian daripada kejohanan yang dianjurkan bagi menghormati ketua junta Guinea, Mamadi Doumbouya, yang melakukan rampasan kuasa pada September 2021 dan telah melantik dirinya sebagai presiden.
Kejohanan sebegitu telah menjadi perkara biasa di negara Afrika Barat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerana Doumbouya melihat potensi untuk bertanding dalam pilihan raya presiden dan membentuk pakatan politik.
N’Zerekore, di tenggara Guinea, kira-kira 570 kilometer (350 batu) dari ibu negara, Conakry, mempunyai populasi kira-kira 200,000 orang. – Agensi