Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirayu supaya membenarkan bantuan kewangan disalurkan terus kepada wakil rakyat di kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

Ahli Parlimen Machang (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia kerana karenah birokrasi untuk mendapat bantuan dari Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menyebabkan masalah yang boleh diselesaikan segera menjadi berlarutan.

“Masalah yang boleh diselesaikan seminggu, berlarutan menjadi sebulan. Sebab itu ada wakil rakyat sebagai pemudah cara untuk bantu rakyat di bawah,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau turut memberitahu, terdapat banyak kediaman penduduk di beberapa kawasan di Kelantan seperti Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang yang mengalami kerosakan 100 peratus.

“Kita tuntut belas ihsan perdana menteri selaku menteri kewangan yang mengamalkan falsafah Madani untuk memberi bantuan banjir terus kepada wakil rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar bantuan yang ingin dihantar bagi membantu mangsa banjir selain, makanan adalah seperti pakaian dan keperluan asas lain.

Keperluan asas yang sangat diperlukan mangsa banjir adalah toto, bantal, tikar, lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan orang tua serta tuala.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak-pihak yang hendak menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah supaya melibatkan wakil rakyat di kawasan terlibat.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, langkah itu bagi mengelakkan berlakunya pembaziran terhadap bantuan sama seperti makanan.

Katanya, ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir di kawasan mereka.

“Kalau ada mana-mana pihak kerajaan, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), NGO dan NGI (pertubuhan atau individu bukan kerajaan) yang membantu, saya syorkan tolong hubungi wakil rakyat yang berada di sana.

“Kami wakil rakyat lebih mengetahui apa yang sedang berlaku di bawah sana.

“Kadang-kadang kita nak beri bantuan, baguslah kerana kita nak mileage dan sebagainya. Tapi, kita bagi benda yang terlebih banyak macam makanan, membazir buang begitu sahaja.

“Jadi, saya minta mana-mana pihak termasuk kerajaan tolong hubungi kami. Kalau kami tidak libatkan secara langsung, saya fikir kita akan membazir banyak sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan peraturan kerajaan dalam memindahkan mangsa banjir.

“Dulu saya menteri yang mengasaskan Nadma, kita telah meletakkan orang boleh berpindah dua hari sebelum banjir, atau pun sehari sebelum banjir.

“Tapi, saya melihat ini berlaku ada di beberapa tempat sekarang, selepas berlaku banjir dan polis mari tengok dulu baru boleh pindah, ini peraturan mana.

“Jadi, saya nak beritahu perbuatan untuk polis mengesahkan baru boleh pindah itu salah. Sebab kita boleh pindah dua hari sebelum banjir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here