Suasana sekitar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ketika tinjauan di Kuala Lumpur hari ini. Foto AIZAT ZAINAL, 1 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini memberi jaminan akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

Langkah ini merangkumi penyediaan saluran bagi pelajar melaporkan sebarang gangguan atau ancaman, serta pemberian sokongan psikologi kepada mangsa penganiayaan.

ATM juga akan terus konsisten memastikan kejadian penganiayaan di UPNM tidak hanya ditangani melalui tindakan disiplin dalam kalangan anggota, tetapi juga dengan menerapkan budaya ketenteraan yang beretika, berdisiplin dan saling menghormati dalam setiap aspek latihan serta kehidupan ketenteraan.

Tanpa sebarang kompromi terhadap kekerasan atau penganiayaan, ATM juga komited untuk menegakkan perundangan dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan, demi memelihara maruah institusi ketenteraan serta kesejahteraan semua pegawai dan anggota yang dilatih.

Jelasnya, ATM dan UPNM akan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan badan-badan pendidikan lain bagi memastikan mutu dan standard etika yang tinggi terus dikekalkan dalam sistem latihan ketenteraan di institusi tersebut.

Dalam kenyataannya, ATM berkata, ia memandang serius terhadap kes penganiayaan yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM serta titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan keprihatinan terhadap isu tersebut.

Titah baginda itu jelas menunjukkan kes penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan atau berlaku sama sekali kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah boleh mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi serta ATM secara amnya.

Berlanjutan daripada kes yang telah berlaku, ATM telah melaksanakan siasatan menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan universiti, bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam sebarang perlakuan penganiayaan dalam kalangan Pegawai Kadet.

“ATM juga telah mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap Pegawai Kadet yang didapati bersalah dalam kes penganiayaan, termasuklah pemberhentian, penggantungan, atau hukuman lain yang selaras dengan peraturan dan etika ATM,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Markas Angkatan Tentera Malaysia.

Semalam,  Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dengan penderaan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Baginda bertitah, semua pihak mesti berusaha menghentikan budaya tidak sihat itu dan memulihkan nama baik UPNM.

“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras. Tetapi ini tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) seperti yang turut disiarkan menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, ATM berkata, ia telah bekerjasama dengan PDRM dan agensi berwajib lain dalam menjalankan siasatan, khususnya jika terdapat elemen jenayah yang terlibat.

ATM juga giat melaksanakan program kesedaran, pendidikan dan kaunseling untuk mencegah insiden penganiayaan dalam kalangan Pegawai Kadet.

Program ini merangkumi penerapan nilai-nilai moral dan etika ketenteraan yang tinggi, jelasnya.

“ATM turut melaksanakan mekanisme pemantauan. ALK telah menambah pemasangan 21 Closed-Circuit Television (CCTV) baharu di blok penginapan Pegawai Kadet, menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sembilan blok penginapan sebanyak 38 unit, termasuk 17 CCTV sedia ada. Penambahan ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan dan memperkukuh tahap keselamatan.

“Pengasingan tempat penginapan dilakukan dengan Pegawai Kadet Tahun 1 kini ditempatkan di Bukit Putera, manakala Pegawai Kadet tahun lain ditempatkan di Blok Penginapan UPNM. Pengasingan lokasi penginapan ini bertujuan untuk mengurangkan interaksi fizikal antara Pegawai Kadet Senior dan Pegawai Kadet Tahun Satu,” kata ATM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, ALK sedang meningkatkan mekanisme pemantauan dengan mengasingkan tugas Pegawai Bertugas Pasukan yang kini hanya melaksanakan tugasan rutin pasukan.

Penugasan Ketua Jurulatih Bertugas diwujudkan bagi memantau secara khusus Pegawai Kadet. Ketua Jurulatih Bertugas bersama lapan Jurulatih Bertugas harian melaksanakan rondaan dengan lebih kerap, terutamanya selepas jam 2300 bagi memastikan keselamatan dan disiplin Pegawai Kadet terpelihara.

ALK telah memajukan permohonan bagi pengisian perjawatan, terutamanya untuk menambah bilangan jurulatih bagi mengurangkan beban tugas sedia ada dan memastikan keberkesanan pemantauan yang lebih sistematik terhadap Pegawai Kadet.

ATM juga melaksanakan tindakan jangka masa panjang iaitu tindakan tegas terhadap pelaku penganiayaan. Selain tindakan disiplin tegas mengikut Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972, segala keputusan berkaitan salah laku yang dibawa ke Lembaga Komandan akan diselaraskan dan dipersetujui bersama pihak UPNM selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

“ATM akan meningkatkan usaha memperkukuh nilai-nilai positif dalam kalangan Pegawai Kadet, termasuk melalui kempen kesedaran tentang bahaya buli, pengukuhan jati diri, serta penerapan prinsip kesaksamaan dan hormat-menghormati. – MalaysiaGazette

Agong mahu hentikan budaya dera, pulihkan semula nama baik UPNM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here