KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi yang melibatkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja dan belia menunjukkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, dapatan menerusi Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun yang mana idea bunuh diri dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2012 kepada 13.1 peratus pada 2022.
“Pelan bunuh diri meningkat daripada 6.4 peratus pada tahun 2012 kepada 10.0 peratus pada tahun 2022 dan peningkatan cubaan bunuh diri juga turut direkodkan daripada 6.8 peratus pada tahun 2012 kepada 9.5 peratus pada tahun 2022,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci berkenaan statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi dan pendekatan polisi berlatarkan bukti yang diambil oleh pihak kementerian dalam menangani isu ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, bagi menangani isu tersebut, KKM telah mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja.
Turut dilaksanakan iaitu menyediakan perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental iaitu Talian HEAL 15555 (membantu dengan empati dan kasih sayang).
Tambahnya, kementerian juga melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah iaitu kolaborasi antara KKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.
Katanya, KKM turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan seperti Hari Belia Negara dan Program Siswa Sihat (PROSIS) kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 68 hospital, dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) dan penempatan 200 Pegawai Psikologi (Kaunseling) Contract For Service (CFS) di daerah dan Klinik Kesihatan.
“KKM juga berusaha meningkatkan bilangan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja kepada 30 orang menjelang tahun 2027. Sehingga kini, terdapat 18 Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di hospital KKM,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanaan aktiviti advokasi kesihatan mental di peringkat komuniti antaranya adalah National Colliation for Mental Wellbeing (NCMW), PERKAMA, MIASA, NYAWA, PEKA, Yayasan ZuriatCARE, dan MeCARE. – MalaysiaGazette