GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad membayar ganti rugi berjumlah RM825,000 kepada veteran serta pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok atas kenyataannya mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin komunis, mendiang Chin Peng.
Mahkamah memerintahkan Siti Mastura membayar ganti rugi RM350,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan Teresa (RM200,000) serta kos berjumlah RM25,000 bagi setiap seorang mereka.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon memutuskan demikian selepas tiga pemimpin DAP itu selaku plaintif berjaya membuktikan elemen fitnah dalam tuntutannya terhadap Siti Mastura selaku defendan.
Dalam keputusan penghakiman, Chew Soon mendapati Siti Mastura bertindak dengan niat jahat dan pembelaan terhadap beliau berdasarkan alasan komen adil tidak dapat diterima.
“Defendan telah membuat kenyataan menghasut mengaitkan plaintif dengan parti politik yang diharamkan dan salah seorang pemimpinnya yang terkenal (Chin Peng).
“Sindiran bahawa plaintif bergabung dan menyokong komunisme di negara kita dianggap tabu.
“Orang yang munasabah akan memahami sindiran jahat dan ia membawa stigma yang besar,” katanya menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Prosiding itu turut dihadiri Datuk Sankara Narayanan Nair mewakili plaintif manakala peguam bela Yusfarizal Yusoff Siti Mastura.
Tambah Chew Soon, kata-kata yang dipertikaikan hanya bermaksud bahawa Kit Siang adalah sepupu kepada Chin Peng, kedua beliau adalah sepupu kepada Lee Kuan Yew, ketiga, Kit Siang dan Guan Eng adalah mempunyai hubungan anak dan bapa manakala Teresa Kok adalah sepupu kepada isteri Guan Eng.
“Pergantungan terhadap buku yang disebut sebagai ‘Comms Barisan Nasional’ adalah tidak boleh diterima kerana ia kekal sebagai penerbitan yang tidak dapat disahkan kewujudannya.
“Pihak pembelaan juga gagal memanggil individu yang dikatakan sebagai pembuat buku terbabit untuk memberi keterangan, menyebabkan buku itu hanya dianggap sebagai dokumen khabar angin dalam perbicaraan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, ketiga-tiga plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman pada 4 November tahun lalu.
Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, mereka mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Mereka mendakwa defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara ketika berceramah. – MalaysiaGazette