KLUANG – Kanak-kanak perempuan mangsa dera ibu kandungnya masih berada dalam keadaan trauma namun sudah semakin stabil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat hasil pertemuannya dengan pelajar tahun empat itu yang masih dalam ketakutan.
“Keadaan ini mungkin berpunca daripada kejadian dera itu apatah lagi orang yang melakukan penderaan datangnya daripada orang disayanginya iaitu ibunya sendiri.
“Pada masa ini, kanak-kanak tersebut berada dalam jagaan bapa saudaranya (abang kepada ibunya) di Taman Kurnia sebagai tempat perlindungan sementara sebelum kata putus penjagaan ditetapkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mangsa merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik dan dua adiknya kini tinggal bersama-sama ayahnya di Kampung Tengah di sini,” katanya.
Syed Hussien berkata demikian selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menzirahi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu di Taman Kurnia di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sudah merangka beberapa tindakan susulan untuk membantu kanak-kanak berkenaan termasuk memberikan khidmat nasihat kaunseling yang akan diselia pihak JKM.
Terdahulu portal ini melaporkan seorang wanita berusia lingkungan 32 tahun ditahan polis pada 2 Disember lalu selepas menerima laporan seorang kanak-kanak perempuan didera oleh seorang guru besar sebuah sekolah rendah di sini pada 28 November lalu.
Melalui laporan itu, murid perempuan berusia 10 tahun dipercayai itu telah di simbah air panas sehingga mendatangkan kesan melecur yang teruk di bahagian belakang badan.
Pengadu juga memaklumkan telah membuat pemeriksaan lanjut di tubuh badan mangsa dan mendapati satu kesan lebam di kaki kanan, kesan lecuran di kaki kiri dan kesan di tumbuk di pipi kiri sehingga lebam.
Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan terpaksa dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini dan laporan polis dibuat pada Isnin lalu.- MalaysiaGazette