Dr Ruzita (dua dari kiri) sambil disaksikan Dorothy (kiri) menyampaikan sijil pengiktirafan BeSS kepada pengusaha makanan di Makan Avenue, Kampung Hulu, Melaka hari ini.

MELAKA – Sebanyak 20 episod kes keracunan makanan direkodkan berlaku di negeri ini sejak Januari sehingga November lalu, kebanyakannya berlaku di kantin sekolah.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, daripada jumlah itu, lapan buah kantin sekolah terlibat di semua tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

“Sebanyak empat buah kantin daripada keseluruhan 49 premis makanan juga telah diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana terdapat urungan najis tikus dan lipas.

“Punca keracunan adalah kerana tahap kebersihan yang rendah sama ada akibat pencemaran silang apabila makanan sudah dimasak dicemari makanan mentah atau semasa penyimpanan,” katanya.

Dr. Ruzita Mustaffa

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) di Makan Avenue, Kampung Hulu hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Dorothy Dayang Henry Sum.

Mengulas lanjut, Dr. Ruzita berkata, dalam tempoh bermula Januari hingga 23 November lalu, sebanyak 5,841 premis makanan telah diperiksa.

“Hasilnya, sebanyak 1,933 notis kesalahan kebersihan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 berjumlah RM320,900.

“Sebab itu, melalui program yang diadakan hari ini, orang ramai dinasihati memilih premis yang telah mendapat pengiktirafan BeSS,” katanya.

Setakat ini, Melaka mempunyai 191 premis yang telah mendapat pengiktirafan BeSS melibatkan kantin sekolah dan premis makanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here