KUALA LUMPUR – Anak sulung kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Muhammad Nizar tidak akan membuat kenyataan yang tidak benar, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Fadhli Shaari.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan perlu menjawab kenyataan Muhammad Nizar yang menyatakan titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah sesuatu yang jelas dan benar.
“Susah sangatkah untuk mengesahkan bahawa ‘oo ia tidak wujud’ atau ‘ye, ada’? Entahlah kerajaan apa yang sedang memerintah sekarang.
“Nah sekarang, anak Datuk Seri Najib sendiri menyatakan bahawa titah itu wujud berdasarkan pemberitahuan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sendiri kepada beliau. Saya tak fikir beliau nak reka-reka cerita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, ada pihak cuba untuk menyembunyikan titah Adendum tersebut daripada pengetahuan umum.
Katanya, perkara itu perlu diajukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jadi sekarang ini, siapa sembunyikan titah itu? Nampaknya ahli-ahli UMNO kena tanya Presiden mereka. Atau sebenarnya ada orang lebih suka Datuk Seri Najib berada ‘di dalam’?, soal Ahmad Fadhli lagi.
Muhammad Nizar hari ini berkata, titah Adendum yang didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah ada jelas dan benar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepadanya baru -baru ini.
”Saya telah failkan satu afidavit di mana saya telah dimaklumkan oleh Tuanku Sultan sendiri bahawa adendum itu memang wujud, ia bertentang (bercanggah) dengan kenyataan sesetengah pihak yang mengatakan hearsay la, dan sebagainya. Sebenarnya ia satu kepastian, kebenaran
“Kalau perasan selama ini pihak istana tidak pernah menafikan dokumen itu adalah paslu atau pun dokumen itu tidak pernah wujud. Kalau adendum itu palsu, (pasti) akan dinafikan sekeras-kerasnya, tapi tuanku sendiri yang beritahu sendiri kepada saya, bukan orang lain.
”Titah tuanku ’Beta’ telah mengeluarkan surat itu dan saya harap semua pihak dapat mematuhi titah tuanku kerana ini bukan perkara yang boleh dibuat main-main, itu jelas,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini. – MalaysiaGazette
Istana tak pernah nafi kewujudan titah adendum, kata anak Najib