KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Kedah dan Terengganu terus menunjukkan trend penurunan setakat pagi ini manakala di Johor, Perak, Melaka dan Pahang tidak berubah.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 23,366 orang setakat 8 pagi ini membabitkan 7,551 keluarga di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 24,416 orang malam tadi.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu termasuk daripada sebuah PPS di Jeli yang dibuka semula malam tadi membabitkan 19 orang mangsa daripada empat keluarga.
Jajahan Tumpat kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 13,879 membabitkan 4,345 keluarga di 32 PPS, diikuti Pasir Mas 9, 468 orang daripada 3,203 yang ditempatkan di 17 PPS.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 3,676 orang daripada 1,088 keluarga setakat pagi ini berbanding 4,141 orang daripada 1,230 keluarga, malam tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari tiga daerah itu masih ditempatkan di 23 PPS.
“Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 2,974 orang daripada 888 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS, diikuti Kubang Pasu 585 orang daripada 165 keluarga di empat PPS dan Pokok Sena 117 orang daripada 35 keluarga di tiga PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, di TERENGGANU, mangsa banjir terus berkurangan kepada 1,052 orang daripada 260 keluarga berbanding 1,692 orang daripada 428 keluarga yang dilaporkan malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan kesemua mereka adalah dari dua daerah yang masih terjejas iaitu Kuala Nerus dengan 976 mangsa di lapan PPS manakala 76 mangsa di Setiu di dua PPS.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan jumlah mangsa banjir di Segamat dan Tangkak yang masih terjejas banjir kekal 975 orang daripada 271 keluarga setakat pagi ini dan ditempatkan di 17 PPS.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa di dua daerah di negeri itu yang masih terjejas banjir iaitu Kinta dan Perak Tengah pagi ini kekal 149 mangsa daripada 51 keluarga di lima PPS.
Di MELAKA, mangsa banjir kekal 148 orang daripada 37 keluarga pagi ini menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.
Sekretariat itu dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa melibatkan penduduk di daerah Jasin ditempatkan di dua PPS iaitu 109 mangsa dari 27 keluarga di PPS SK Parit Penghulu dan 39 mangsa daripada 10 keluarga berlindung di PPS SK Seri Mendapat.
Di PAHANG, menurut aplikasi Info Bencana JKM, jumlah mangsa di daerah Maran yang masih terjejas banjir kekal 15 orang daripada lima keluarga setakat pagi ini dan ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian, Maran. – BERNAMA