Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1 Development Malaysia Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam nada emosi dan tegas melahirkan rasa gusar  terhadap pasukan pendakwaan yang seolah-olah mengetepikan beberapa individu yang terlibat terang-terangan dalam penyelewengan dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Beliau mendakwa, beberapa individu yang dipercayai bersekongkol dengan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menyalahgunakan wang daripada entiti milik kerajaan itu ‘terlepas’ begitu sahaja kerana menjadi saksi dalam perbicaraan ini.

Antara nama-nama yang dipetik Najib dalam prosiding termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo serta ahli lembaga lain.

Jasmine Loo

Najib yang sedang membela diri dalam prosiding berkenaan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berhujah,  beliau bimbang dan resah dengan penglibatan serta peranan utama individu-individu itu dalam kes ini.

“Rakyat perlu tahu kebenaran ini. Kebenaran ini penting. Penglibatan mereka, peranan individu-individu dengan Jho Low. Namun kesemua mereka menjadi saksi dan mengaitkan saya.

“Ini sangat meresahkan, membimbangkan saya. Ini bukan seperti mahu mencari kebenaran penyelewengan sebaliknya cubaan untuk memutarbelitkan perkara sebenar dengan memberikan keterangan palsu.

“Pendakwaan terhadap saya bermotifkan politik untuk memastikan saya disabitkan. Ini bukan usaha sebenar mencari kebenaran, keadilan yang tulen,” katanya dari kandang saksi hari ini.

Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Sambung beliau, ini juga adalah antara usaha untuk menutup mulutnya sebagai lawan politik dan memastikan penguasaan yang mahu terus kekal berkuasa.

Najib juga menyoal tentang laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuatnya tentang bekas pengurus kanan Goldman Sachs Tim Leissner berhubung isu 1MDB, selain menggesa pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyoal dan mengekstradisi Leissner.

Beliau membuat laporan sekitar tahun 2021 namun laporan itu seolah-olah dipandang sepi oleh SPRM sehingga kini.

Menurut Najib, laporan itu bertujuan mendapatkan senarai pegawai yang disogok Leisner berhubung skandal 1MDB, yang dipercayai boleh membersihkan namanya.

Leissner, yang merupakan bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara dan pengarah urusan institusi kewangan itu, telah mengaku bersalah pada 1 Nov 2018 atas pertuduhan jenayah dan diperintahkan untuk membayar wang sebanyak ASD43.7 juta.

Dia mengaku bersalah kerana ‘bersubahat’ untuk mengubah wang dan berkomplot untuk melanggar FCPA dengan membayar rasuah kepada pelbagai pegawai Malaysia dan Abu Dhabi serta memintas kawalan perakaunan dalaman Institusi Kewangan.

“Kita hendak tahu siapa yang disogok itu. Rakyat hendak tahu kebenaran sebenar,” tegasnya.

Najib sedang membela dirinya dalam perbicaraan terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here