KUALA LUMPUR – Penyanyi rap tempatan, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen mendakwa dirinya telah dirakam secara rahsia oleh seorang pegawai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika dia tidak berpakaian semasa dalam satu sesi urutan di sebuah rumah urut di SS14, Petaling Jaya, kelmarin.
Dalam beberapa hantaran di laman X dan satu video di laman Instagram, Zamaera mendakwa beberapa pegawai MBSJ telah masuk ke premis berkenaan untuk pemeriksaan.
“Ketika itu, saya berada di bilik tujuh dan kemudiannya terdengar beberapa orang lelaki sedang berbual dalam bahasa Melayu di luar.
“Pada awalnya, saya cuba abaikan dan nikmati sesi urut itu. Tetapi, secara tiba-tiba langsir bilik saya telah dibuka dan seorang anggota mengangkat telefonnya untuk merakam saya yang ketika itu tanpa seurat benang” dakwanya.
Penyanyi itu menambah bahawa tukang urutnya telah memberitahu beberapa kali kepada para anggota yang bilik dimasuki mereka itu adalah bilik perempuan namun tidak diendahkan.
“Apabila disoal, anggota itu berkata rakaman itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) MBSJ.
“Bagaimana menceroboh privasi pelanggan dengan merakam mereka dalam keadaan berbogel dianggap beretika?” soal Zamaera.
Anggota itu kemudiannya menafikan kejadian tersebut berlaku, mendakwa tiada bukti atas tuduhan itu walaupun Zamaera melihat sendiri di hadapannya.
“Jika anda mahu memasuki rumah urut, buat pengumuman. Sebaliknya, anda menyelinap masuk dan melanggar hak privasi seseorang,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette