KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak akan kembali kepada UMNO jika hanya menjadi ‘pak turut’ sebaliknya bekas Ketua Pergerakan Pemuda itu mengimpikan UMNO yang berubah, lebih baik, relevan, lebih segar dan lebih berintegriti.
Katanya, beliau tidak pernah keluar daripada UMNO tetapi telah dipecat dan sehingga kini tidak mengetahui sebab dikenakan tindakan tersebut
“Sejak dipecat dari UMNO Januari tahun lepas saya tak join mana-mana parti walaupun ada tawaran hampir dari semua parti secara rasmi dan tidak rasmi tetapi saya tak terima walaupun diberi peluang jadi calon sewaktu pilihan raya negeri.
“Sebab dalam hati saya, saya sebenarnya masih ahli UMNO,” katanya dalam program Podcast Keluar Sekejap mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Khairy dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein boleh kembali jika bukti komitmen.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut mengulangi bahawa beliau masih setia kepada UMNO.
Katanya, jika diletakkan pistol di kepalanya UMNO tetap menjadi pilihan cuma persoalannya bagaimana dan bila.
Menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid sebagai sesuatu yang serius, Khairy berkata, jika beliau kembali kepada UMNO keputusan tersebut bukan untuk apa-apa jawatan tetapi mesti ada usaha untuk terus memulihkan imej parti yang menuntut iltizam semua pihak termasuk pemimpin sedia ada dan dirinya sendiri.
Khairy juga tidak menolak kemungkinan akan kembali kepada UMNO jika parti itu menerima dirinya dengan idealismenya sendiri dan pada masa yang sama beliau bersedia mematuhi disiplin parti.
Pada 25 November lalu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik balik penggantungan keahlian bekas ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
- Tajuddin ucap terima kasih kepada Zahid kerana selesaikan perselisihan
- MKT UMNO tarik balik penggantungan Tajuddin – Asyraf
- MGNews: Empat Kali Tajuddin Hantar Surat Rayuan Dan Tunjuk Kesungguhan Untuk Bersama UMNO