KUALA LUMPUR – Mustahil untuk gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN) untuk melupakan Datuk Seri Najib Razak, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata gabungan itu tidak akan pernah melupakan jasa-jasa yang telah dicurahkan bekas Perdana Menteri itu kepada BN.
“Mustahil untuk melupakan beliau. Kami ada halangan dan kekangan. UMNO dan BN tidak akan pernah melupakan Bossku yang kini berada di penjara.
“Ada perkara yang boleh dikongsi dan ada yang tidak boleh dikongsi. Kami berasa berat hati, kami tahu bukan mudah untuk beliau melalui semua ini,” katanya dalam ucapan sambutan ulangtahun 50 tahun Barisan Nasional (BN) di Dewan Merdeka, Psuat Konvensyen Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Malah Ahmad Zahid berkata mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sering membangkitkan perbincangan mengenai situasi Najib di setiap mesyuaratnya.
“Namun, saya yakin, cahaya terang akan muncul di hujung terowong untuk beliau dan keluarganya,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas ucapan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang berkata parti itu terhutang budi dengan Najib yang banyak membela nasib masyarakat India di negara ini.
Malah Saravanan berharap agar ada usaha baharu digerakkan oleh kerajaan khsus BN dalam membela nasib bekas pemimpin BN itu.
“MIC terhutang budi kepada Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri pertama yang menaik taraf sosial ekonomi kaum India.
“Perdana Menteri pertama yang mempengerusikan mesyuarat komoditi pertama untuk kaum India. Dialah Perdana Menteri pertama yang memberikan lesen untuk sekolah Tamil.
“Hari kita dengar ada arahan (Titah Adendum) Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) maka biarlah kita (BN) buat sesuatu untuk beri kebebasan terhadap Datuk Seri Najib Razak,” katanya sambil disambut tepukan semua perwakilan di Dewan Merdeka,” katanya.
Semalam, anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar mengesahkan perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepadanya baru -baru ini.
Muhammad Nizar berkata titah adendum yang didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah ada jelas dan benar.
Tegas ADUN Peramu Jaya itu sekiranya dakwaan tersebut palsu, tentu perkara berkenaan telah dinafikan oleh pihak istana sejak awal lagi.
”Saya telah failkan satu afidavit di mana saya telah dimaklumkan oleh Tuanku Sultan sendiri bahawa adendum itu memang wujud, ia bertentang (bercanggah) dengan kenyataan sesetengah pihak yang mengatakan hearsay la, dan sebagainya. Sebenarnya ia satu kepastian, kebenaran.
”Kalau perasan selama ini pihak istana tidak pernah menafikan dokumen itu adalah paslu atau pun dokumen itu tidak pernah wujud. Kalau adendum itu palsu, (pasti) akan dinafikan sekeras-kerasnya, tapi tuanku sendiri yang bagitahu sendiri kepada saya, bukan orang lain. – MalaysiaGazette