Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Subang Jaya sedang menyiasat insiden yang berlaku semasa operasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan yang beroperasi tanpa lesen sah.

Operasi yang dijalankan pada 4 Disember 2024 itu telah mencetuskan kontroversi apabila sebuah video berkaitan serbuan tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Polis Wan Azlan Wan Mamat, serbuan yang dilakukan sekitar jam 6 petang mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah, melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013.

“Semasa pemeriksaan, seorang wanita tempatan (suspek) didapati enggan memberikan kad pengenalan dan mempertikai tindakan dokumentasi yang dilakukan pihak serbuan.

“Selain itu, dia turut merakam pegawai bertugas melakukan kerja, tetapi setelah pemeriksaan terhadap telefon anggota itu, didapati tiada rakaman atau gambar suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.

“Isu ini tular setelah suspek mendakwa pihak serbuan merakam dirinya dalam keadaan tidak berpakaian semasa proses urutan.

“Hal ini mendorong kedua-dua pihak membuat laporan polis masing-masing. Siasatan sedang dijalankankan di bawah Seksyen 186 dan 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menghalang penjawat awam, mengaibkan kehormatan, dan penularan video operasi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Wan Azlan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Insp. Fadizah Ajamain di 019-8582166.

Beliau turut menegaskan bahawa siasatan bakal dijalankan dengan telus, adil dan saksama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here