JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor mengeluarkan 303 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas motosikal dari Jumaat lalu hingga hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kesalahan itu melibatkan tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran, pengubahsuaian, tiada nombor plat dan lain-lain kesalahan berkaitan peraturan serta undang-undang jalan raya.
Selain itu, katanya, operasi berkenaan juga menyita sebanyak 114 buah motosikal yang dilakukan bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kebanyakan motosikal yang disita merangkumi kesalahan penunggang motosikal tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran, kesalahan nombor plat, pengubahsuaian dan kesalahan lain.
“Operasi khas ini bertujuan mengekang kegiatan samseng jalanan dan mendidik pengguna jalan raya khasnya penunggang motosikal untuk mematuhi peraturan jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Kumar berkata, operasi seperti itu akan diteruskan dan polis kontinjen Johor tidak berkompromi serta sentiasa komited menangani isu membabitkan kesalahan pengguna jalan raya.-MalaysiaGazette