KUALA LUMPUR – Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) melabuhkan tirainya dengan kejayaan filem Imaginur merangkul anugerah Filem Terbaik.
Filem itu merupakan terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. serta arahan oleh Nik Amir Mustapha membawa pulang trofi FFM33 dan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Bertemakan ‘EMAS – Evolusi Sinema Malaysia’, FFM33 mengangkat bakat tempatan serta pencapaian filem Malaysia di peringkat antarabangsa.
Selain itu, sebanyak 28 kategori anugerah lain turut disampaikan, antaranya dokumenteri Pekik terbitan Stereo Pixels Sdn. Bhd. yang memenangi kategori Dokumentari Terbaik menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Sementara itu, The Missing Trophy terbitan Wayang Works Sdn. Bhd. diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik yang membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Malam kemuncak FFM33 juga menyaksikan pengiktirafan Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman kepada Zakaria Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, A. Galak serta Anugerah Khas Karyawan kepada Indera Che Muda Redzuan.
Kedua-dua penerima masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan besar kepada industri kreatif tanah air.
Turut hadir pada FFM33 adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi FINAS, YBhg. Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; serta barisan penaja utama iaitu U Mobile Sdn. Bhd., KNKV Group dan D’Tandoor Group of Companies. – MalaysiaGazette