KLUANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dan telah melaksanakan 559 projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) bernilai RM5.635 bilion sehingga November lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 39 projek bernilai RM2.331 bilion adalah dalam fasa pra pembinaan.
“Sementara 41 projek bernilai RM3.023 bilion adalah dalam fasa pembinaan manakala 479 lagi melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan projek pemulihan, ubah suai, naik taraf aset (PPUN) yang bernilai RM280.784 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Pembangunan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) di Penjara Simpang Renggam dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar di Dewan Serbaguna, Penjara Simpang Renggam hari ini.
Turut hadir Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Ahmad berkata, daripada peruntukan tersebut sebanyak RM23.122 juta diperuntukan untuk projek SKEB di Penjara Simpang Renggam dan PPA Muar.
Jelas beliau, projek SKEB telah dimulakan pada 4 Mac 2022 dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) berjaya dikeluarkan pada 21 Oktober 2024 mengikut masa yang ditetapkan setelah pengujian keseluruhan sistem dilaksanakan.
Menurutnya, sebanyak 18 projek SKEB dibangunkan dengan kos 218.88 juta di seluruh negara dengan sembilan daripadanya sudah siap manakala sembilan lagi siap Mei tahun depan.
Antaranya di Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang; Penjara Seremban dan Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Negeri Sembilan serta Penjara Alor Setar dan Penjara Sungai Petani, Kedah.
Ia termasuk Penjara Pulau Pinang; Penjara Taiping, Perak; Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; Penjara Dusun Dato’ Murad dan Sekolah Henry Guney Telok Mas, Melaka serta Penjara Pusat Kota Kinabalu dan Penjara Wanita Kota Kinabalu, Penjara Sandakan, Sekolah Henry Gurney Keningau dan Penjara Tawau, Sabah.
“Pelaksanaan teknologi SKEB ini merupakan satu inisiatif yang sangat kritikal dalam usaha untuk memperkukuh aspek pengawasan, keselamatan dan tindakan bagi sesebuah institusi penjara dengan risiko kes-kes lari dan lain-lain yang tidak diingini disasarkan kepada sifar.
“Antara skop projek ini ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang mempunyai liputan lebih luas dan menyeluruh Electronic Access Control System, IP Security Intercom System Integrated Security Management System (ISMS) dan kerja-kerja pemasangan elektrik voltan rendah serta kerja-kerja kejuruteraan awam,” ujarnya.
Jelas Ahmad, tujuannya bagi memperkasakan sistem keselamatan penjara termasuk mengenal pasti atua mengesan kes tertentu seperti pergaduhan antara banduan dan menghalang perbuatan tidak diingini seperti membunuh diri. – MalaysiaGazette