KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbalik di Kilometer 14, Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dari Cheras menghala ke Ampang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismai berkata, kejadian jam 9 pagi tadi itu membabitkan lima mangsa berusia lingkungan 30an hingga 50an.
“Semakan mendapati, kemalangan berlaku semasa MPV terbabit yang dipandu dari arah Maktab PDRM Cheras menuju ke Sabak Bernam bagi memberi bantuan siasatan tempat kejadian.
“Kenderaan itu dipercayai telah hilang kawalan semasa melalui jalan berselekoh dalam keadaan cuaca hujan, lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar penghadang kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, akibat pelanggaran itu, MPV tersebut telah terbalik dan menghalang laluan di lorong kiri jalan, kejadian itu tidak melibatkan kenderaan lain.
“Kesemua mangsa adalah pemandu serta penumpang merupakan pegawai dan anggota. Mereka telah dihantar ke Jabatan Kecemasan, Hospital Ampang.
“Hasil pemeriksaan, hanya dua daripada lima mangsa cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar zon kuning serta dibenarkan pulang pada hari sama,” jelasnya.
Mohd Azam menambah, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaaGazette