Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),

KUALA LUMPUR – Fasa pertama perdagangan Tenaga Boleh Baharu (TBB) merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura dengan kapasiti 50MW akan dimulakan pada bulan Disember 2024.

Satu majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) yang disaksikan oleh wakil kerajaan kedua-dua negara telah diadakan hari ini di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang julung kali diadakan ini adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada bulan Jun 2024.

ENEGEM ini membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara
bidaan kompetitif.

TNB sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Syarikat Sembcorp Power dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara.

Bidaan menerusi ENEGEM adalah sebahagian daripada inisiatif Petra di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE) yang akan dilaksanakan secara berfasa dengan jumlah kapasiti sehingga 300MW dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada antara Malaysia dan Singapura.

Pelaksanaan CBES RE ini adalah selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN atau ASEAN Power Grid, yang merupakan salah satu agenda utama negara untuk kepengerusian ASEAN – Malaysia pada tahun 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast