KUALA LUMPUR – Industri peranti perubatan menjadi tonggak utama dalam pertumbuhan ekonomi dan kemajuan penjagaan kesihatan apabila menyumbang kira-kira RM18 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sektor itu juga mencipta 95,000 peluang pekerjaan sejak tahun 2012 di mana Malaysia menjadi pengeluar global utama produk perubatan berasaskan getah memenuhi 60 peratus permintaan dunia untuk sarung tangan.
“Dengan lebih 200 pengeluar tempatan dan 30 syarikat multinasional (MNC) beroperasi di negara ini, Malaysia terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan dalam pengeluaran peranti perubatan.
“Selaras dengan Rancangan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kerajaan memberi tumpuan kepada pendigitalan, automasi dan pengeluaran peranti perubatan bernilai tinggi untuk pasaran global.
“Kerjasama antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak industri memainkan peranan penting dalam mencapai visi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis sama, Dr Dzulkefly turut melancarkan peranti perubatan yang dibangunkan Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) itu iaitu alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil.
APSB mula membangunkan VS1 pada tahun 2020 menggunakan bahan dan perisian berdasarkan lesen terbuka dari Medtronic.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, salah satu sorotan utama IMDEC 2024 adalah sesi pembentangan Inovasi INNOMed yang disokong Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM).
Menurutnya, inisiatif itu memperkasakan usahawan tempatan dengan pembiayaan dan kerjasama untuk membangunkan peranti perubatan tempatan yang disesuaikan dengan keperluan penjagaan kesihatan Malaysia.
“Ini juga menunjukkan potensi Malaysia sebagai hab teknologi berkualiti tinggi dan kos efektif serta membuka peluang perkongsian sumber bersama pemain industri global.
“IMDEC 2024 menjadi bukti komitmen Malaysia untuk memajukan inovasi penjagaan kesihatan, mengharmonikan peraturan kawal selia dan mendorong pertumbuhan ekonomi.
“Di samping itu, IMDEC memperkukuhkan komitmen kerajaan dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang inklusif, adil, dan maju secara teknologi, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat global.
Sementara itu, IMDEC 2024 diadakan secara serentak dengan Mesyuarat Tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) ke-28.
Acara anjuran MDA itu berjaya menghimpunkan lebih daripada 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pelawat dari pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan termasuk pengilang, pengawal selia, ahli akademik dan inovator.
Bertemakan ‘Mengoptimumkan Kuasa Teknologi Perubatan, Membentuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan’, acara itu menyediakan platform dialog bersama industri, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam menangani cabaran kritikal serta menerokai kemajuan teknologi yang mentransformasi sistem penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette
smart watch yang di jual tidak sama bacaan dengan klinik kerajaan . . adakah ia di luluskan dalam permit jualan .