KUALA LUMPUR – Kira-kira lapan kampung yang terletak dalam lingkungan lima kilometer radius Sungai Perak, Sungai Kenderong, Sungai Kenering, Sungai Rui dan Sungai Air Tawar di Hulu Perak dijangka dilanda banjir mulai hari ini hingga 13 Disember 2024.
Amaran itu dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) susulan amaran hujan berterusan di peringkat berjaga-jaga oleh Jabatan Meteorologi semalam.
Kampung yang berisiko banjir di Hulu Perak ialah Kampung Sumpitan, Kampung Beng, Kampung Bendang Kerajaan (Pekan Gerik) dan Kampung Kerunai.
Selain itu, Kampung Padang, Kampung Malau, Kampung Pahat dan Kampung Lawin.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kampung Veerasamy di Sungai Siput di Kuala Kangsar.
Katanya, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan.
Oleh itu, amaran dikeluarkan bagi memastikan semua penduduk yang berada di kawasan yang dijangka banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana. – MalaysiaGazette