SUBANG – Kemasukan pelaburan asing bernilai tinggi ke negara ini mendorong peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan aliran keluar pekerja mahir dari Malaysia ke luar negara. Minat pelabur asing terhadap Malaysia, khususnya di Selangor, telah menghasilkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM55.3 bilion pada tahun 2023.
Selangor yang pesat membangun ketika ini telah disenaraikan sebagai negeri berpendapatan tinggi pada 2 Julai 2024 dan menjadi salah satu destinasi utama pilihan pelabur asing sekaligus menyumbang 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2023.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebanyak 169,775 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi 1,955 projek pelaburan sepanjang tempoh tersebut membawa manfaat besar, termasuk pemindahan teknologi tinggi dan kepakaran canggih ke Malaysia.
Syarikat aeroangkasa dari Perancis, Dassault Aviation, yang terkenal dengan pembuatan dan penjualan pesawat tentera serta jet perniagaan antara pelabur yang berkongsi teknologi mereka dengan Malaysia di Selangor.
Melalui anak syarikat milik penuhnya, ExecuJet MRO Services Malaysia, Dassault Aviation membuka kemudahan penyenggaraan, pembaikan, dan baik pulih pesawat dengan pelaburan lebih RM100 juta di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada Mei lalu.
Kehadiran ExecuJet MRO Services di Malaysia bukan sekadar memenuhi keperluan penyelenggaraan pesawat, tetapi juga menonjolkan bagaimana Pelaburan Langsung Asing (FDI) boleh merangsang industri tempatan dan memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia.
Dengan 90 peratus daripada tenaga kerja syarikat ini terdiri daripada rakyat Malaysia, ExecuJet MRO Services membuktikan bahawa pelaburan asing berkualiti tinggi bukan hanya membawa kemajuan teknologi, tetapi juga menyokong pembangunan bakat tempatan yang kompeten.
ExecuJet MRO Services, yang kini beroperasi sebagai hab serantau di Subang, mula membuat pelaburan penting di Malaysia pada tahun 2019 selepas diambil alih oleh Dassault Aviation dari kumpulan Lux Aviation.
Langkah strategik ini memfokuskan kepada memperkukuh operasi penyelenggaraan pesawat di rantau Asia Pasifik, dan Malaysia telah terpilih sebagai lokasi utama kerana infrastruktur yang kukuh, kepakaran pekerja tempatan, dan sokongan yang mesra industri. Pelaburan ini menyumbang kepada peningkatan kemudahan penyelenggaraan pesawat di Malaysia, menjadikannya destinasi pilihan bagi pelanggan dari seluruh rantau.
Naib Presiden Asia Serantau ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkongsi bagaimana syarikat ini melihat Malaysia sebagai negara yang strategik untuk pertumbuhan mereka.
Kata beliau, dengan rangkaian penerbangan antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Malaysia menawarkan kemudahan logistik dan infrastruktur penting untuk operasi MRO.
āMalaysia juga mempunyai tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, dan ExecuJet tidak melepaskan peluang untuk memperkasakan pekerja tempatan melalui latihan yang berterusan dan memberi pendedahan kepada teknologi terkini.
āSalah satu keunikan ExecuJet adalah komitmen dalam meningkatkan kemahiran pekerja tempatan. Kami selalu hantar jurutera Malaysia serta kru teknikal ke luar negara, seperti Perancis, untuk mendapatkan latihan khusus apabila pesawat model baharu diperkenalkan.
āLangkah ini memastikan tenaga kerja ExecuJet dilengkapi dengan kemahiran terkini dalam teknologi penerbangan yang pesat berubah, serta memahami piawaian keselamatan yang ketat dalam industri.
āSetiap kali kami menawarkan perkhidmatan baharu atau berhadapan dengan pesawat model baharu, pasukan teknikal tempatan dihantar untuk menjalani latihan agar mereka mampu menyelenggara pesawat dengan piawaian tertinggi,ā katanya.
Menurut Ivan, latihan berterusan adalah sebahagian daripada visi misi syarikat itu memandangkan industri penerbangan dikawal selia oleh pelbagai badan keselamatan dan sentiasa memerlukan penyesuaian kepada teknologi terkini pada setiap masa.
āExecuJet MRO Services turut membuka peluang latihan industri kepada pelajar universiti tempatan, memberi ruang kepada generasi muda untuk merasai pengalaman dalam bidang penyelenggaraan pesawat yang dinamik dan kompetitif. Dengan memberi peluang kepada pekerja tempatan dan pelajar untuk berkembang, ExecuJet menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor penerbangan di Malaysia,ā jelasnya.
Dalam pada itu, kata Ivan lagi, ExecuJet juga memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan tempatan melalui kolaborasi dengan syarikat Malaysia termasuklah bagaimana pihaknya bergantung kepada pembekal tempatan untuk peralatan teknikal dan keperluan logistik.
āKami juga pada masa sama bekerja rapat dengan sektor perhotelan dan pengangkutan apabila menerima kedatangan tetamu atau pelanggan dari luar negara yang berkunjung ke fasiliti kami. Sebagai contoh, baru-baru ini ExecuJet turut sama terlibat dalam persidangan perkembangan teknikal bagi pesawat Falcon yang di anjurkan oleh Dassault Aviation bertempat di sebuah hotel terkemuka di Selangor , yang mengumpulkan dan dihadiri oleh peserta dari seluruh Asia Tenggara, China, dan Australia.
āAcara seperti ini bukan sahaja meningkatkan profil Malaysia sebagai hab penyelenggaraan pesawat serantau, sebaliknya menyumbang kepada sektor hospitaliti tempatan yang menyediakan keperluan penginapan dan logistik untuk para peserta pada satu-satu masa,ā ujarnya.
ExecuJet MRO Services membuktikan bagaimana FDI yang strategik boleh memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi dan industri di Malaysia, malah pelaburan mereka dalam kemudahan di Subang membantu meningkatkan reputasi Malaysia sebagai pusat penerbangan serantau. Dengan adanya ExecuJet di Malaysia, pelanggan dari seluruh Asia kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan berkualiti tinggi tanpa perlu beralih ke negara lain.
Melalui sokongan terhadap tenaga kerja tempatan, pelaburan dalam latihan dan kemahiran, serta sumbangan kepada ekonomi tempatan, ExecuJet MRO Services bukan sahaja meningkatkan kedudukan Malaysia dalam peta penerbangan global tetapi juga memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Malaysia dan ekonomi negara.
Tawaran pekerjaan setaraf luar negara
Jurutera Pesawat, Yeo Ming Xiang mendedahkan bagaimana dirinya merebut peluang untuk kembali ke tanah air dengan tawaran yang setaraf dengan luar negara selepas lebih 10 tahun bekerja di luar negara kerana mahu dekat dengan keluarga tersayang terutamanya nenek beliau di Kelantan.
āApa yang membuatkan saya kembali adalah keluarga saya. Ibu bapa saya tinggal bersendirian di Kelantan, dan saya sudah lama berjauhan dengan mereka. Sekarang saya ada lebih banyak masa untuk bersama mereka, terutamanya nenek saya.
āFaedah yang saya dapat di sini setanding dengan apa yang saya peroleh di Singapura. Selain itu, bekerja di hangar ini membolehkan saya bertukar pengalaman dengan pakar dari pelbagai negara, serta membimbing jurutera muda tempatan. Saya harap mereka dapat maju ke tahap lebih tinggi suatu hari nanti.
āHangar baharu ini menarik lebih ramai pelanggan untuk penyenggaraan dan baik pulih pesawat. Ini bukan sahaja mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi juga membuka ruang untuk jurutera lain berkembang,ā katanya.
Langit baharu untuk wanita dalam industri penerbangan
Amira Sabri yang baharu berusia 28 tahun adalah contoh kejayaan bakat muda tempatan yang mencipta nama dalam industri penerbangan menerusi ExecuJet MRO. Bermula dengan lesen penyelenggaraan pesawat Malaysia selepas tamat SPM di Sekolah Menengah Danau Kota, Amira kini memiliki kelayakan antarabangsa, termasuk sijil FAA ANP dari Amerika Syarikat (AS).
āSaya mula dengan lesen Malaysia, dan sekarang saya ada sijil dari Amerika Syarikat. ExecuJet hantar saya untuk pelbagai program latihan, termasuk di luar negara. Saya banyak belajar dan kemahiran saya semakin bertambah,ā katanya.
Sebagai syarikat yang menyokong wanita dalam industri penerbangan, ExecuJet turut membuka peluang kepada wanita untuk bersaing dalam industri penyelenggaraan pesawat setaraf dengan lelaki.
āExecuJet sangat menyokong warga kerja wanita untuk terus maju dalam industri penerbangan. Ini memberi peluang kepada wanita untuk mengenali industri ini. Kita tunjukkan bahawa mereka juga boleh bekerja dalam bidang ini, setaraf dengan lelaki,ā jelas Amira.
Kini, Amira terus melakar kejayaan dalam industri penerbangan, menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian dalam bidang yang mencabar.
Latihan bertaraf dunia
Tinakaran Ramalingam, 31, adalah bukti kejayaan ExecuJet MRO dalam membimbing bakat tempatan dari sifar sehingga cemerlang dalam industri penerbangan. Selama 10 tahun di syarikat ini, Tinakaran berkembang daripada tidak mengetahui apa-apa tentang sistem pesawat kepada seorang jurutera kanan yang berpengalaman.
āSaya tidak tahu apa-apa tentang sistem pesawat ketika mula bekerja di sini. Mereka ajar saya segalanya secara perlahan-lahan ā dari alat, sistem, semuanya. Dalam 10 tahun, mereka membimbing saya daripada kosong hingga ke tahap sekarang,ā katanya.
Sebagai sebahagian daripada pasukan muda di ExecuJet, Tinakaran melihat banyak peluang untuk terus berkembang.
āPasukan kami terdiri daripada orang muda, itu kelebihan di sini. Kami sentiasa muncul dengan idea baharu, terutamanya daripada mereka yang pernah bekerja di luar negara dan membawa balik pengalaman untuk diterapkan di sini,ā jelasnya.
Selain itu, ExecuJet turut menumpukan konsep mesra alam dan sentiasa memastikan setiap operasinya berkonsepkan inisiatif hijau.
āKami mahu melindungi alam sekitar, jadi kami sentiasa mencari idea baharu untuk meningkatkan keselamatan dan memperkenalkan inisiatif hijau,ā ujarnya.
Tinakaran percaya bahawa ExecuJet bukan sahaja membina kerjaya individu tetapi juga membuka peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, sambil memastikan industri ini terus berkembang dengan inovasi dan kemampanan.
Kerangka Ekonomi Madani memacu FDI
Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada 27 Julai 2023 ini merupakan model komprehensif yang mendorong kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) sekali gus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia di samping merangsang ekonomi tempatan.
Sebanyak 8,049 projek pelaburan telah diluluskan untuk tempoh 2023 hingga Jun 2024 dengan nilai RM489.5 bilion, antaranya, RM263 bilion merupakan pelaburan asing. Sebanyak 206,519 peluang pekerjaan ditawarkan terutamanya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan dalam tempoh yang sama.
Semua ini adalah bukti bahawa Malaysia kini berada di landasan betul bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan yang seterusnya memberikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pelaburan asing buka peluang perniagaan, tambah pendapatan rakyat
Belanjawan 2025 menepati ekonomi madani capai objektif kumpulan sasarĀ
MGNews: Kerangka Ekonomi Madani Jadi Penanda Aras Belanjawan 2025
Enam penanda aras Ekonomi Madani berada di landasan tepat untuk dicapai
Pelaburan RM25 bilion Infineon di Kedah selaras Ekonomi Madani -PM
Pencapaian ekonomi positif hasil agenda Kerajaan Madani
Anwar Ibrahim di Peluncuran Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat
Sarawak terima RM31.8 bilion FDI industri berteknologi tinggi bagi tempoh lima tahun
Pahang peroleh RM22.67 bilion FDI sejak 2022
FDI negara akan rancak semula – TPM
Malaysia catat lebih RM81 billion aliran masuk FDI, DIA
Johor catat FDI RM31 bilion tahun lalu