Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,634 tapak sampah haram di tujuh negeri iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup tahun ini di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia melibatkan kira-kira 1,500 tan sisa yang dibersihkan dengan kos dianggarkan bernilai RM412,000.

Sepanjang tahun ini juga, sebanyak 4,134 intipan dilaksanakan Penguat kuasa SWCorp yang akan terus mempergiat usaha membasmi tapak sampah haram di negeri-negeri berkenaan.

“Sampah haram merujuk kepada sisa pepejal melebihi dua tan yang dilupuskan di lokasi atau tapak tidak dibenarkan mahupun diwartakan serta boleh dialih menggunakan lori atau jentera.

“SWCorp sudah membuat serbuan dan tangkapan di lokasi hotspot yang sering menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa pepejal di lokasi tidak dibenarkan dan tidak memiliki lesen di bawah Akta 672,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Aiman Athirah (PH-Sepang) menjawab soalan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (BEBAS-Tanjong Karang) mengenai tindakan yang diambil kerajaan terhadap kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot sampah haram.

Menjelaskan lebih lanjut, Aiman Athirah berkata, aktiviti pemantauan dilakukan secara bersepadu menggunakan kamera litar tertutup di hotspot sampah haram selain anggota penguat kuasa SWCorp turut memantau secara berkala.

Jelasnya, pihak yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 71 Akta 672, memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000; penjara minimum enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Zulkafperi, beliau berkata, pemilik tanah atau premis yang membenarkan longgokan sampah haram perlu mengambil tindakan membersihkan sisa terbabit.

Katanya, mereka juga akan berdepan hukuman penjara dan denda sekiranya gagal mematuhi notis dikeluarkan di mana-mana tempat dikenal pasti menjadi lokasi longgokan sampah haram.

Secara umumnya, jelas beliau, pemilik akan menyatakan mereka tidak mengizinkan (longgokan sampah haram) tetapi mengikut Seksyen 75 Akta 672, mereka perlu mengambil tindakan membersihkannya.

“Seksyen 71(7) Akta 672 juga menyatakan menjadi tanggungjawab pemilik tanah dan premis berkaitan untuk mengelak daripada berlakunya longgokan sampah.

“Seandainya mendapati tempat mereka menjadi lokasi longgokan pembuangan sampah haram, (pemilik) perlu memaklumkan KPKT dan dalam konteks ini untuk tujuh negeri telah mengguna pakai Akta 672,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast