KUAA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat 20.6 peratus pada bulan Oktober 2024 (38,400 tan metrik) berbanding pada bulan September 2024 (31,847 tan metrik).
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 16.6 peratus (Oktober 2023: 32,944 tan metrik).
Pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2024 disumbangkan oleh sektor pekebun kecil (88.6%) berbanding sektor estet (11.4%).
Jumlah stok getah asli pada Oktober 2024 meningkat 1.9 peratus kepada 134,844 tan metrik berbanding 132,391 tan metrik pada September 2024.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.1 peritus diikuti kilang pengguna getah (11.8%) dan estet getah (0.1%).
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,151 tan metrik pada Oktober 2024, meningkat 20.6 peratus berbanding September 2024 (39,930 tan metrik).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 43.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2024 diikuti Jerman (9.8%), Emiriah Arab Bersatu (9.2%), Amerika Syarikat (4.8%) dan Portugal (2.8%).
Harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 9.8 peratus (Oktober 2024: 746.36 sen sekilogram; September 2024: 679.65 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat sebanyak 7.4 peratus (Oktober 2024: 738.01 sen sekilogram; September 2024: 687.01 sen sekilogram). – MalaysiaGazette