KUALA LUMPUR – Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi penggal 2025-28 selepas menewaskan Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam pertembungan satu lawan satu pada sesi pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di sini, hari ini.
Beliau mengatasi Shapawi yang juga bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kemenangan dengan undian 14-10.
Ia sekali gus membolehkan Megat D Shahriman menyandang jawatan berkenaan buat penggal kedua berturut-turut sejak menduduki kerusi nombor satu itu pada tahun 2019.
Semalam, Megat D Shahriman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa wujudnya eleman rasuah dalam pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) badan induk itu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan, hair ini.
“Ini juga untuk memastikan ahli gabungan tidak bergelumang atau tidak terbabit dengan jenayah rasuah kerana setiap persatuan sukan kebangsaan adalah entiti awam,” katanya yang berharap perkara itu dapat disiasat dengan lebih lanjut oleh pihak SPRM.
SENARAI PENUH KEPIMPINAN MPM 2025-28
Presiden: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin
Timbalan Presiden: KM Rajendran
Naib Presiden (OKU): Datuk Mah Hassan Omar
Naib Presiden: Datuk Amarjit Singh Gill, Dr Ang Kean Koo, Joshua Edgar
Setiausaha Agung: Datuk R Subramaniam
Bendahari: P Kumarusamy, Rattna Aizan Mohd Idris
– MalaysiaGazette