KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas melepaskan jawatan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) menunjukkan wujud krisis dalam senyap dalam gabungan tersebut.
Menurut penganalisis sosio-politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak, sekiranya kemelut dalaman ini tidak diselesaikan secara harmoni, tidak mustahil boleh membawa perpecahan dalam PN.
“Seperti kita ketahui, sebelum Majlis Tertinggi PN bermesyuarat pada 9 Disember lalu wujud kekecohan mengenai siapa calon perdana menteri (PM) PN jika gabungan tersebut menang dalam PRU-16.
“Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat kenyataan terbuka bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap akan menjadi calon PM PN tetapi pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara itu belum diputuskan.
“Sesetengah pemimpin Pas pula mencadangkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai Setiausaha Agung PN menggantikan tempat Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menjadi Timbalan Presiden Bersatu.
“Cadangan ini atas dasar senioriti Takiyuddin, kekuatan Pas dalam politik negara dan pengalaman lama beliau sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Muhammad Afifi mengulas tindakan Ahmad Samsuri yang meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN dua hari selepas dilantik memegang jawatan itu.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan peletakan jawatan oleh Ahmad Samsuri tetapi enggan mengulas lanjut.
Muhammad Afifi meramalkan, ketegangan antara Pas dan Bersatu akan lebih memuncak selepas perletakan jawatan Ahmad Samsuri.
“Tidak mustahil Pas akan menarik diri dari PN jika Bersatu terus bersikap angkuh dan bongkak.
“Saya jangkakan jika perpecahan ini berlaku, maka sebahagian besar pemimpin Bersatu yang menjadi wakil rakyat akan mengikut Pas dan jajaran baharu boleh berlaku,” kata Muhammad Afifi lagi.
Untuk rekod, Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat Selasa lalu mengesahkan pelantikan enam jawatan penting parti berkenaan iaitu Setiausaha Agung, Ketua Wanita, Ketua Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi gabungan itu.
Mesyuarat itu menyaksikan Bersatu mengekalkan kesemua enam jawatan utama dalam gabungan PN. – MalaysiaGazette