SHAH ALAM – Kongres Nasional Khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti berhubung proses pemilihan parti.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, pindaan tersebut melibatkan peningkatan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Katanya, dalam masa sama pindaan tersebut turut melibatkan prinsip penetapan kuota gender dan etnik.
“Kongres Khas ini telah menyaksikan lebih dua pertiga perwakilan bersetuju dan meluluskan semua pindaan perlembagaan parti yang telah diusul,” katanya menerusi kenyataan sejurus selesai kongres tersebut.
Sementara itu, Fuziah memaklumkan tarikh baharu bagi Kongres Nasional 2024 dan 2025 akan diumum setelah MPP membuat keputusan pada mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Semalam, Fuziah dilaporkan berkata, pindaan itu akan mengikut prinsip keterlibatan dalam demokrasi yang bakal memberikan hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyifatkan pindaan perlembagaan yang diluluskan pada hari ini akan memberi keadilan kepada cabang yang mempunyai keanggotaan yang lebih.
“Harapan saya ini membolehkan penglibatan semua anggota daripada pelbagai kaum, negeri dan latar belakang dalam proses memilik pimpinan tertinggi parti bila tiba masanya nanti.
“Akan ada perwakilan yang akan hadir secara fizikal dan akan ada yang mengundi secara dalam talian.
“Kita juga tetapkan bagi setiap cabang yang mempunyai ahli lebih ramai akan ada peningkatan supaya lebih berbentuk proportional supaya akan sepadan dengan jumlah anggota,” katanya yang ditemui pada Kongres Nasional Khas PKR, hari ini.-MalaysiaGazette