Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kenaikan kos hingga 20 peratus bagi melaksanakan badah haji pada tahun 2025 adalah tidak wajar dan tidak kena masa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenaikan kos haji ini menjadi beban besar ke atas kemampuan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Tidak menafikan isu kenaikan kos yang dihadapi namun Pas percaya isu lebih besar dan perlu diutamakan ialah kesan kenaikan kos itu ke atas kemampuan umat Islam yang mahu menunaikan haji, terutama sekali dengan tekanan ekonomi semasa termasuk dari segi peningkatan kos sara hidup, harga barangan keperluan dan peluang pekerjaan yang terhad.

“Harus juga diingat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos menunaikan haji telah meningkat secara berterusan, iaitu sebanyak RM10,980 pada 2022 dan RM12,356 pada 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya yang menyaksikan kos haji berada bawah paras RM10,000 seorang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Takiyuddin berkata demikian mengulas pengumuman Lembafa Tabung Haji (TH) tentang kos pada musim haji tahun depan.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kos  bagi  bakal jemaah kali pertama Kumpulan B40 adalah sebanyak RM15,000 seorang berbanding RM12,356 pada 2024.

Bagi Kumpulan M40 pula, mereka perlu membayar sebanyak RM23,500 berbanding RM19,152 pada tahun ini, manakala kos haji bagi Kumpulan T20/muassasah kekal RM33,300 seorang.

Pas berpendapat ia bukanlah suatu keadaan yang mendesak bagi Tabung Haji dan Kerajaan mengambil langkah sebegini.

Selain pertimbangan beban kewangan yang akan dihadapi oleh bakal jemaah, dasar semasa TH berkait peranan dan tujuan penubuhannya perlu diteliti semula berikutan kesannya ke atas kemampuan institusi tersebut untuk terus memberi kemudahan terbaik kepada rakyat untuk ke Tanah Suci, baik dari segi mutu perkhidmatan mahupun kos yang boleh dicapai oleh semua golongan.

Antara peranan asas TH adalah sebagai tabung awam bagi membolehkan umat Islam/pendeposit menyertai pelaburan dalam
industri, perdagangan, perladangan, hartanah dan sebagainya sebagai sumber pendapatan dan keuntungan yang selamat dan bebas riba, sekali gus membolehkan TH menampung apa-apa kenaikan kos yang berlaku.

Dasar yang mengehadkan aktiviti TH kepada pengendalian urusan haji dan pelaburan dalam aset simpanan tetap semata-mata susulan pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dipercayai menjadi penyumbang utama kepada ketidakmampuan tabung berkenaan menjana keuntungan yang munasabah bagi mengekalkan kos haji pada paras yang lebih rendah.

Lantaran itu, Takiyuddin meminta TH  menarik balik keputusan untuk menaikkan kos haji pada 2025, sekali gus mendesak kerajaan agar mengkaji semula dasar pelaburan semasa TH bagi membolehkannya menjalankan peranan sebagai tabung pelaburan umat Islam yang menguntungkan, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, iaitu peranan yang dimainkannya sejak ditubuhkan pada 1963. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here