Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selepas dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima gagal isytihar pendapatan kepada LHDN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri agar kesemua 17 pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Beliau berpendapat, permohonan itu mempunyai merit kerana pertuduhan tidak menyatakan elemen penting kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Rosmah.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika ke Mahkamah Tinggi berhubung Keputusan permohonan untuk batal pertuduhan 12 pengubahan wang haram dan lima tuduhan pengelakan cukai terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 DISEMBER 2024.

“Tanpa menyatakan secara spesifik transaksi yang dilakukan, bagaimana untuk mengaitkan tertuduh dengan kesalahan yang dilakukannya? Selain itu wujud pertindihan pada pertuduhan,” demikian menurut penghakiman yang dibacakan Hakim Muniandy.

Mahkamah selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 12 November lalu dalam permohonan Rosmah untuk menggugurkan kesemua 17 pertuduhan terhadapnya.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Isteri bekas Perdana Menteri didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here