KUALA LUMPUR – Suami kepada pelakon Rozita Che Wan, Zain Saidin sedang berusaha menyelesaikan urusan berkaitan isu tidak membayar pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) tanpa perlu berkongsi dengan orang luar.
Zain yang juga pelakon bagaimanapun tidak dapat berkongsi dengan lebih lanjut memandangkan isu tersebut hanya melibatkan isterinya.
“Sudah semestinya saya pernah ambil pinjaman dengan Mara. Ada yang kata kita lepas tangan itu tak tepat. Bila tak tepat, orang dengar dan percaya bulat-bulat dan serang kami sebab tak tahu cerita keseluruhan.
“Terus terang, kami ada usaha cuma tak semua diceritakan. Namun saya maafkan semua dan faham mereka tak dapat cerita sepenuhnya. Saya tak boleh ceritakan semua sebab ini bukan hal saya.
“Sebagai suami, saya cuma beri sokongan mana yang mampu. Bukan hak saya untuk bercerita,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Zain atau nama lengkapnya Mohammad Zain Mohd. Saidin, 40, turut memaafkan semua tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan kepada diri dan keluarganya.
“Mana nak serang, silalah. Itu hak kalian, saya minta maaf andai tersalah kata. Saya awal-awal lagi dah maafkan. Ada yang marah sampai salahkan kami kata anak mereka tidak dapat pinjaman punca daripada kami.
“Ingat syarikat sebesar itu ada RM1 juta sahaja untuk edarkan ke? Kalau tiada RM1 juta, orang lain tak dapat duit?” soalnya.
Zain juga memberitahu, Rozita atau Che Ta, 51, enggan menjawab panggilan pihak media atas alasan berkecil hati dengan apa yang terjadi.
“Kami tak lari dari tanggungjawab dan memang lakukan yang terbaik. Saya dan isteri tak pernah lari, kadang-kadang artikel tak tepat.
“Che Ta kecil hati sampai block (sekat) semua orang yang buat panggilan telefon. Dia tak nak bercakap dengan mereka,” jelas pelakon drama Oh My English itu.
Sebelum ini, kediaman Che Ta dilaporkan diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, pelakon drama Kiah Pekasam itu pernah melunaskan pinjaman hutang sebanyak RM50,000 namun tidak dapat dipastikan bila bayaran tersebut dibuat.
Malah Che Ta turut dikatakan hadir ke pejabat Mara baru-baru ini.
Sementara itu, lelongan barangan peribadi milik Che Ta yang sepatutnya berlangsung di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam ditunda ke satu tarikh baharu.
Permohonan penundaan itu dibuat oleh Che Ta selaku defendan kepada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Penundaan itu dimaklumkan wakil peguam Mara yang enggan dikenali kepada pihak media.
“Assalamualaikum, mahkamah sudah menangguhkan tarikh lelongan awam pada hari esok. Tarikh lanjut akan ditetapkan pada masa akan datang dan bergantung atas arahan mahkamah,” katanya.
Laporan media semalam memaklumkan acara lelongan barangan itu membabitkan 34 barangan yang berjumlan RM 902,012.46. – MalaysiaGazette