KLANG – Golongan suri rumah paling gembira apabila dapat berbelanja bahan mentah dengan harga yang amat berpatutan di Pasar Pagi Pandaraman, dekat sini.
Mana tidaknya, selain perut keluarga terjaga, poket juga tidak ‘bocor’.
Perumpamaan itu digambarkan oleh suri rumah, Syafiza Zainol, 39, yang menjadikan Pasar Pagi Pandamaran tempatnya berbelanja bahan mentah dua minggu sekali.
Katanya, harga bahan mentah di sini lebih murah jika dibandingkan dengan kedai-kedai runcit berdekatan rumahnya di Pulau Indah.
Menurutnya, dia memperuntukkan RM300 di pasar itu untuk bekalan hampir dua minggu dan ia sangat berbaloi.
“Selalunya kalau beli di sini lebih kurang RM300 untuk bekalan dua minggu, kalau beli kat kedah Aceh pun tak dapat, harga pun mahal. Semua barang basah murah di sini, sotong, semua jenis ikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Syafiza berkata, harga barang-barang di sini sangat murah, harga sayur tiga ikat hanya RM5 berbanding ditempat lain seikat RM5.
Katanya, dia mengetahui kewujudan pasar ini sejak lima bulan lalu dan premis tersebut kini menjadi pilihannya berbelanja.
Seorang lagi suri rumah, Rani a/p Mahalinggam, 46 juga sependapat dan gembira kerana ketika banyak kedai menjual mahal, dia boleh berbelanja dengan berhemah di pasar ini.
“Barang-barang di sini bukan sahaja murah tetapi sayur, ikan semuanya segar-segar,” tambahnya.
Rani akan berbelanja setiap minggu di sini, lagipun pasar ini hampir dengan kediaman yang diduduki lebih kurang 40 tahun.
“Saya memang tidak beli di tempat lain, setiap minggu datang sini untuk belanja bahan mentah,” ujarnya.
Bukan sahaja golongan wanita yang gembira datang ke pasar ini, tetapi keterujaan itu turut dikongsikan oleh pelanggan lelaki.
Hadi Ismail, 44, berkata, pada awalnya dia dan isteri terkejut dengan harga barang-barang mentah di sini yang dijual murah.
Pertama kali berbelanja di Pasar Pagi Pandamaran, beliau berkata, ikan yang dijual selonggok RM10 berbeza dengan harga di pasar-pasar lain.
“Ini kali pertama tengok harga barangan berpatutan. Macam ikan selonggok dalam pinggan tu dah disiang, dipotong RM10 kira banyaklah. Boleh makan dua hari,” katanya yang menetap di Sungai Pinang, Jalan Kapar.
Pasar Pagi Pandamaran ini tular di aplikasi TikTok kerana harga barang-barang mentah seperti ikan, sotong ketam dan sayur-sayuran cukup murah.
Bagaimanapun, ada pelanggan yang mendakwa harga di pasar ini lebih murah pada hari biasa berbanding pada hujung minggu atau cuti kelepasan am.
Menariknya, para pelanggan juga boleh tawar-menawar di pasar ini. – MalaysiaGazette