Pesalah khalwat, Mohd Affendi Awang, 42, dibawa keluar selepas menjalani hukuman sebat di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang), Kuala Terengganu. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan hukuman sebat ke atas pesalah khalwat berulang di luar penjara dan di khalayak ramai yang dilaksanakan di Terengganu hari ini adalah langkah mendidik masyarakat sejajar dengan perintah Allah.

Selain itu, kata beliau, hukuman itu termasuk dalam takzir di bawah bidang kuasa negeri dan dilaksanakan mengikut prinsip Maqasid Syariah serta kaedah sebatan mengikut kaedah Islam.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Terengganu membuktikan komitmen dalam memperkasakan undang-undang syariah.

“Semoga negeri Terengganu, kepimpinannya, dan seluruh rakyatnya sentiasa diberkati Allah SWT,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menerusi hantaran sama, Tuan Ibrahim turut memuat naik beberapa keping gambar sekitar persediaan pelaksanaan hukuman sebat ke atas Mohd Affendi Awang, 42, yang merupakan pesalah khalwat berulang yang dijadual dilaksanakan selepas solat Jumaat hari ini di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang), Kuala Terengganu.

Pesalah khalwat, Mohd Affendi Awang, 42, tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang), Kuala Terengganu bagi menjalani hukuman sebat. – Foto: FB Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, memetik laporan laman web trdi.my, Mohd Affendi tiba di masjid itu kira-kira pukul 2.30 petang tadi selepas  dibawa dari penjara terbuka Marang dengan diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara.

Difahamkan, tertuduh akan menjalani rawatan kesihatan oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) di Dewan A’asim masjid berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Affendi yang juga seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di masjid kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here