Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman ketika menziarahi pelakon dan pelawak veteran, Sathia Periasamy pada Program Ziarah Seni Madani FINAS di Rumah Pangsa DBKL Setapak Jaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Seramai 48 penggiat industri telah menerima bantuan Ziarah Seni
Madani@FINAS sehingga hari ini biarpun tiada peruntukan khas yang diperuntukkan untuk program tersebut pada tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ini kerana inisiatif Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berjaya mengadakan kerjasama dengan rakan strategik untuk program ziarah tersebut.

Menurut beliau, antara rakan strategik itu adalah Yayasan FELDA, Eco Marine Group of Companies, Koperasi Al-Najah (KL) Berhad, AHB Holdings BErhad dan Angkasaraya Holdings Berhad.

“Sumbangan merangkumi sumbangan tunai dan bantuan makanan sebagai tanda menghargai penggiat industri dan mewujudkan ukhwah di kalangan warga industri
perfileman.

“Sasaran FINAS untuk menghulurkan bantuan kepada penggiat industri menerusi Ziarah Seni Madani@FINAS pada tahun 2025 adalah seramai 100 orang.

“Kaedah untuk mendapatkan bantuan ini boleh menghubungi jawatankuasa kebajikan FINAS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke kediaman pelawak veteran, Sathia Periasamy yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Sathiya di Setapak di sini hari ini.

Pelakon dan pelawak veteran, Sathia Periasamy ketika ditemui pada Program Ziarah Seni Madani FINAS di Rumah Pangsa DBKL Setapak Jaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 DISEMBER 2024

Sathiya, 60, yang pernah mencipta nama menerusi watak Ravi dalam sitkom popular
“Pi Mai Pi Mai Tang Tu” mengalami serangan angin ahmar sebanyak dua kali pada
tahun ini, iaitu pada 16 Ogos dan 19 November 2024.

Sementara itu, sepanjang tahun 2024, FINAS telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan penggiat seni terutama mereka yang dikategorikan sebagai ‘bekerja sendiri’, terus terpelihara.

Selain sumbangan tunai dan bantuan makanan yang diagihkan kepada golongan yang memerlukan, FINAS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)
bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuhkan perlindungan sosial untuk para penggiat seni
melalui program seperti i-Saraan KWSP dan caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast