KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) di Sintok, Kedah hari ini.
MoU itu membawa anjakan baharu sekali gus memberi impak yang cukup besar kepada pembangunan modal insan dalam landskap gerakan koperasi negara.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha yang diterajui oleh Pusat Kecemerlangan ANGKASA dan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM menyambung tradisi kecemerlangan akademik dan memperluaskan skop kerjasama kepada bidang strategik lain.
“UUM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang berprestij, dapat menyediakan platform untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan koperasi, perniagaan, dan kewangan selain memanfaatkan kepakaran akademik dari UUM untuk meningkatkan kecekapan pengurusan koperasi di bawah naungannya.
“Menerusi MoU ini, Cooperative Leadership Programme yang berkonsepkan edutourism membolehkan peserta menjalani kursus di UUM serta berpeluang melawat pusat perniagaan, universiti, institusi teknologi, dan koperasi berjaya di Selatan Thailand.
“Kerjasama ini juga bertujuan untuk menghasilkan pemimpin koperasi yang berkelayakan, yang dapat memajukan koperasi Malaysia ke arah yang lebih profesional dan progresif,” jelasnya dalam kenyataan.
Kata Abdul Fattah, kerjasama dalam penyelidikan pula membolehkan kedua-dua pihak melaksanakan penyelidikan bersama yang dapat menghasilkan penemuan baru mengenai model perniagaan koperasi, teknologi serta kaedah untuk mempertingkatkan perkhidmatan dan operasi koperasi.
Selain itu, Pembangunan Bakat Muda Koperasi menyaksikan penempatan pelajar UUM daripada pelbagai jurusan di koperasi akan membantu koperasi kecil dan sederhana menginovasi serta mendigitalkan operasi mereka, di samping menarik golongan muda profesional berkecimpung ke dalam ekosistem koperasi.
“Penempatan kakitangan ANGKASA di UUM selama beberapa bulan akan memberi peluang untuk menimba pengalaman profesional dalam bidang pengurusan dan penyelidikan khususnya, meningkatkan kompetensi, serta menguasai bahasa yang relevan.
“Saya yakin bahawa gabungan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak akan membuka lebih banyak peluang baharu yang dapat memperkukuhkan lagi kedudukan gerakan koperasi di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan ialah Projek Inkubator Penanaman Cendawan, koperasi dapat memperkasakan keusahawanan anggota mereka dengan sokongan penyelidikan dan latihan dari UUM.
“Dari segi impak, projek ini dijangka meningkatkan pendapatan koperasi, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, dan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan belia.
“Output yang disasarkan termasuk hasil tanaman sehingga 300 kilogram cendawan sebulan bagi setiap fasiliti dan pendapatan yang mencecah lima angka sebulan,” katanya.
“Pelaksanaan program berimpak tinggi seperti Jualan Rahmah Siswa dan kedai runcit ANGKASA di UUM merupakan langkah strategik dalam menyokong kesejahteraan pelajar serta mengukuhkan sektor koperasi,” ucapnya pada majlis yang sama.
Beliau percaya hasil yang bakal diperoleh melalui kerjasama ini bakal menyumbang kepada negara dengan cara mengukuhkan pengetahuan berkaitan pemasaran, tadbir urus korporat, keusahawanan dan kerja-kerja konsultasi dan penyelidikan untuk manfaat bersama.
“Saya juga yakin bahawa koperasi adalah pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan, bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya. – MalaysiaGazette