Foto: IPD Jempol

SEREMBAN – Dua pelajar lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer 10 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian 3.20 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dan Yamaha Lagenda dan kejadian dipercayai berlaku semasa salah seorang mangsa dari arah Bahau menuju ke Kemayan.

“Setiba di lokasi kejadian, semasa bergerak mendaki bukit, remaja itu dipercayai telah dilanggar oleh seorang lagi penunggang yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast